KUALA LUMPUR: Bekas kekasih usahawan sensasi, Datuk Seri Vida, Ahmad Iqbal Zulkefli mengakui tidak terfikir untuk menghadiri majlis perkahwinan wanita itu sekiranya menerima undangan bagi meraikan hari bahagianya bersama Datuk Fazley Yaakob.
Menurut Iqbal, keputusan itu dibuat kerana dia merasakan kehadirannya ke majlis berkenaan mungkin menimbulkan pelbagai persepsi dan persoalan, selain tidak mahu kisah silam kembali menjadi perhatian.
Bagaimanapun, dia tidak mempunyai masalah untuk bertemu dengan Fazley sekiranya mereka terserempak dalam urusan atau acara di luar majlis perkahwinan.
“Saya rasa saya tidak akan hadir ke majlis tersebut. Bagaimana saya hendak hadir sedangkan kehadiran saya mungkin menimbulkan pelbagai cerita dan persoalan? Apakah tujuan saya datang ke majlis itu?
“Namun, jika bertemu di luar, saya mungkin boleh berjumpa dengan Datuk Fazley.
“Mengenai Datuk Seri Vida pula, saya rasa saya sudah meletakkan batasan. Walaupun jika kami menghadiri majlis televisyen atau acara tertentu, sudah tentu kami akan bertemu. Sebenarnya, saya tidak mempunyai masalah dengan perkara itu,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Mengulas mengenai hubungan lalu dengan Vida, Iqbal berkata, dia sudah lama meneruskan kehidupan dan menerima sebarang perkembangan membabitkan bekas kekasihnya itu dengan hati terbuka.
Malah, dia turut menyifatkan Fazley sebagai individu yang baik dan dihormati, selain menganggap usahawan berkenaan sebagai idolanya.
“Sebenarnya, saya menerima perkara ini dengan hati yang terbuka dan saya sudah lama meneruskan kehidupan seperti biasa. Saya juga mengenali Datuk Fazley. Beliau seorang yang sangat baik, yang saya fahami dan segani. Beliau juga merupakan idola saya.
“Sebagai seorang manusia, saya mendoakan kebahagiaan mereka dan berharap agar perkara yang pernah berlaku sebelum ini tidak berulang lagi. Semoga kali ini mereka benar-benar mengecapi kebahagiaan,” katanya.
Dalam pada itu, Iqbal mengakui perjalanan hidupnya banyak berubah, termasuk dari segi cara hidup dan perniagaan, seiring peningkatan usia serta pengalaman yang dilalui.
Katanya, dia kini lebih selesa menjalani kehidupan secara sederhana dan tidak lagi terlalu terbuka berkongsi perkara peribadi atau mengambil tahu mengenai perbualan netizen di media sosial.
“Apabila semakin dewasa, saya merasakan perubahan itu berlaku tanpa saya sedari. Saya semakin memikirkan orang di sekeliling dan bukan sekadar mahukan perhatian di media sosial atau mengambil kira apa yang diperkatakan netizen.
“Semakin kita berjaya, semakin banyak perkara lain yang perlu kita fikirkan. Saya juga perlu menjaga hati dan perasaan orang di sekeliling,” katanya.
Tambahnya, dia tidak menyimpan perasaan dendam atau permusuhan terhadap sesiapa, sebaliknya memilih untuk menerima perubahan dalam kehidupan dengan hati terbuka serta mengekalkan hubungan secara profesional.
Untuk rekod, Vida sebelum ini menerima lamaran Fazley dalam kejutan romantis yang berlangsung di pentas TikTok Shop 11.11 Mega Syok Live Concert di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), pada 10 November lalu.
Lamaran berkenaan mencuri perhatian apabila Fazley menghadiahkan sebentuk cincin eksklusif berbentuk tiara bernilai RM7,000, selain mengadakan persembahan 1,200 dron yang membentuk mesej istimewa buat Vida.
Kejutan yang dianggarkan menelan belanja RM500,000 itu turut disaksikan anak-anak kedua-dua pihak dan disiarkan menerusi TikTok Live.
Vida atau nama sebenarnya Hasmiza Othman menerima lamaran tersebut dengan jawapan bersetuju, sekali gus mencetuskan perhatian ramai mengenai hubungan mereka.
Bagaimanapun, Fazley memaklumkan tarikh pernikahan masih belum ditetapkan, namun mereka merancang untuk mendirikan rumah tangga tahun depan selepas melalui proses merisik dan bertunang mengikut adat Melayu.











