PETALING JAYA: Pengurusan Majlis Amanah Rakyat (Mara) diminta untuk memperhalusi dan segera menyelesaikan keluhan ibu bapa apabila anak-anak mereka terpaksa menjalani Ujian Kecenderungan Kemasukan MRSM (UKKM), jauh dari tempat tinggal masing-masing.
Pengerusi Mara, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, beliau telah menerima banyak aduan daripada ibu bapa berhubung permasalahan itu sehingga membebani mereka khususnya golongan miskin dan berpendapatan rendah.
Katanya, beliau telah meminta pengurusan Mara untuk meneliti dan segera menyelesaikan masalah tersebut bagi mengelakkan hak dan kebajikan golongan susah dinafikan.
“Saya sudah minta pengurusan Mara untuk memperhalusi dan menangani isu ini segera.
“Saya tidak mahu hanya kerana terpaksa menjalani ujian UKKM selepas PKSK (Pentaksiran Kemasukan Sekolah Khusus) di lokasi yang terlalu jauh daripada alamat sebenar, menafikan hak dan kebajikan golongan miskin dan berpendapatan rendah,” katanya dalam hantaran di Facebook miliknya hari ini.
Beliau juga membuka ruangan komennya di Facebook untuk menjadi platform aduan ibu bapa untuk menyampaikan aduan supaya dapat diselesaikan segera oleh pihak Mara.
“Siapa yang ada masalah ini, boleh tulis di ruangan komen. Saya sudah minta pegawai-pegawai Mara hubungi anda segera,” katanya. – UTUSAN











