SEPANG: Pemain perseorangan lelaki negara, Leong Jun Hao menyifatkan aksi longlainya pada Piala Thomas 2026 sebagai antara detik paling mengecewakan dalam karier profesionalnya.
Jun Hao mengakui kegagalannya menyumbang mata kepada skuad negara menjadi punca utama kekecewaan yang dirasainya sepanjang kempen tersebut.
Katanya, prestasi yang dipamerkan kali ini jelas tidak mencapai tahap sebenar kemampuannya dan perlu dinilai semula secara menyeluruh.
Beliau bagaimanapun bertekad untuk segera bangkit dengan memperbaiki segala kelemahan demi tampil lebih kompetitif dalam kejohanan akan datang.
“Secara peribadi saya rasa prestasi kali ini memang tidak cukup baik dan mungkin ada beberapa kekurangan yang perlu diperbaiki,” kata Jun Hao kepada pemberita sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), hari ini.
Tambahnya, fokus utama ketika ini adalah memulihkan kembali prestasi dalam tempoh segera selain melakukan penilaian terperinci terhadap permainannya.
Sementara itu, pemain beregu lelaki negara, Tee Kai Wun menganggap pengalaman beraksi dalam kempen kali ini sebagai peluang berharga untuk meningkatkan kematangannya.
Malaysia sebelum itu tersingkir di peringkat suku akhir selepas tewas 0-3 kepada China national badminton team dalam kejohanan berprestij tersebut. – UTUSAN










