Malaysia bantah tindakan Norway, jejas kesiapsiagaan pertahanan negara

Malaysia bantah tindakan Norway, jejas kesiapsiagaan pertahanan negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Tindakan Norway membatalkan lesen eksport sistem Peluru Berpandu Tentera Laut (NSM) dan sistem pelancar berkaitan menunjukkan rapuhnya komitmen negara itu sebagai rakan strategik Malaysia.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyuarakan bantahan tersebut dalam perbualan telefon dengan Perdana Menteri Norway, Jonas Gahr Støre malam tadi.

Tegas Anwar, alasan pembatalan lesen eksport sistem NSM dikatakan bagi melindungi keselamatan Oslo tidak boleh diterima.

“Jika pembekal pertahanan Eropah berhak untuk mengingkari tanpa hukuman, nilai mereka sebagai rakan kongsi strategik akan terhakis,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Katanya lagi, Malaysia juga telah memenuhi semua kehendak di bawah kontrak itu sejak 2018 dengan berhemah.

Malah tegas Awar, kontrak yang dimeterai juga merupakan komitmen serius yang perlu dihormati semua pihak.

“Norway tidak menunjukkan layanan serta kepercayaan yang baik terhadap Malaysia meskipun negara ini telah memenuhi setiap obligasi yang dipersetujui di bawah kontrak tersebut,” katanya.

Anwar turut berkata, keputusan itu akan memberikan kesan buruk kepada kesediaan operasi pertahanan Malaysia dan program pemodenan Kapal Tempur Pesisir (LCS).

“Ia akan memberi kesan besar untuk keseimbangan serantau,” katanya.

Sebelum ini, Kementerian Luar Norway dilaporkan menarik balik beberapa lesen eksport berkaitan teknologi tertentu sebagai sebahagian daripada usaha memperketat kawalan eksport negara itu.

Menurut laman web syarikat Kongsberg Defence & Aerospace AS (KDA), perolehan NSM dimeterai antara Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan KDA pada April 2018 dengan nilai kontrak 124 juta euro (RM571.9 juta) bagi melengkapkan enam kapal LCS baharu.

Peluru berpandu itu berkeupayaan melaksanakan serangan maritim jarak jauh pada kelajuan subsonik tinggi dengan jarak melebihi 300 kilometer.

Susulan daripada itu, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin memaklumkan akan bertemu rakan sejawatnya dari Norway di Singapura akhir bulan ini bagi mendapatkan penjelasan berhubung keputusan mengejut kerajaan negara itu menyekat lesen eksport NSM kepada Malaysia.

Mohamed Khaled dilapor berkata, pertemuan itu juga akan digunakan untuk menyatakan kekesalan dan rasa terperanjat Kerajaan Malaysia terhadap tindakan Norway yang membatalkan penghantaran aset berkenaan, hanya beberapa hari sebelum tarikh yang dijadualkan pada Mac lalu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN