PORTO: Portugal menjadi pasukan pertama melangkah ke suku akhir Liga Negara-Negara UEFA selepas menewaskan Norway 2-1, semalam.
Portugal membuktikan mereka mampu melangkah jauh tanpa bergantung kepada Cristiano Ronaldo yang meninggalkan kem pasukan pada Rabu lalu.
Ronaldo bertindak meninggalkan pasukan secara selepas pengendali baharu Portugal, Jorge Jesus menggugurkannya ke bangku simpanan.
Goncalo Ramos muncul wira kemenangan pada minit ke-86 selepas rembatan kencang Joao Cancelo menyamakan kedudukan susulan jaringan menarik Kristoffer Ajer dari luar kotak penalti buat Norway.
Selepas perlawanan, Jesus berkata, beliau bersedia menerima kepulangan Ronaldo, 41, ke skuad kebangsaan, namun keputusan itu perlu dibuat oleh pemain berkenaan.
“Bagi saya, Ronaldo, dalam panggilan pemain seterusnya, jika dia masih bermain bersama Al Nassr, dia pemain yang boleh dipanggil menyertai skuad.
“Jika dia mahu, dia akan kembali ke skuad kebangsaan. Kami boleh berbincang sebelum panggilan pemain seterusnya, tetapi Ronaldo yang akan membuat keputusan,” kata Jesus.
Jurulatih itu berkata, jika Ronaldo mahu berbincang dengannya sebelum perlawanan Portugal seterusnya pada November, perkara itu boleh dilakukan.
“Jika dia mahu, seperti yang kami lakukan sebelum panggilan pemain kali ini, kami boleh melakukan perkara yang sama untuk panggilan seterusnya,” kata Jesus. – AGENSI











