Solbakken bangga pencapaian Norway

Solbakken bangga pencapaian Norway

STALE Solbakken-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MIAMI: Pengendali Norway, Stale Solbakken bangga dengan pencapaian anak buahnya yang berjaya menghidupkan semula kegilaan bola sepak di Norway sepanjang kejohanan Piala Dunia 2026 meskipun tewas 1-2 kepada England pada aksi suku akhir, semalam.

Norway yang kembali beraksi di pentas Piala Dunia buat kali pertama sejak 1998 mengejutkan ramai apabila mara sehingga suku akhir, termasuk menyingkirkan Brazil pada pusingan 16 terbaik.

Pada pertemuan menentang England, Andreas Schjelderup meletakkan Norway di depan sebelum Jude Bellingham menyamakan kedudukan sebelum rehat dan meledak gol kemenangan pada awal masa tambahan.

“Kami bersaing di tahap tertinggi. Bezanya hanyalah margin yang tidak memihak kepada kami. Begitulah bola sepak dan sekarang kami perlu berehat seketika.

“Pada 20 minit pertama kami sedikit bergelut, tetapi saya benar-benar bangga dengan apa yang ditunjukkan oleh pemain,” katanya.

Sepanjang kempen di Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico, Norway mencuri perhatian menerusi aksi berbisa Erling Haaland selain sambutan ‘mendayung’ penyokong yang menjadi fenomena di setiap perlawanan.

“Saya harap musim panas 2026 membawa kegembiraan kepada seluruh rakyat Norway. Kami melakukan sesuatu yang istimewa bersama-sama dan mendapat sokongan luar biasa daripada seluruh negara.

“Kami berjanji akan meningkatkan prestasi apabila tiba di Piala Dunia selepas aksi cemerlang dalam kelayakan dan kami berjaya menunaikannya. Kami bersama selama enam minggu setengah dan saya rasa tiada siapa yang bosan walau sesaat,” katanya.-AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN