Letupan lombong arang batu di China ragut 90 nyawa

Letupan lombong arang batu di China ragut 90 nyawa

PASUKAN penyelamat dan kenderaan kecemasan tiba di lombong arang batu Liushenyu selepas letupan gas di Changzhi, wilayah Shanxi di utara China semalam.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BEIJING: Sekurang-kurangnya 90 orang terbunuh dalam satu letupan gas di sebuah lombong arang batu di utara China, dalam kejadian yang disifatkan antara bencana industri terburuk di negara itu dalam tempoh 17 tahun.

Agensi berita rasmi Xinhua melaporkan, insiden itu berlaku pada pukul 7.29 malam kelmarin di lombong Liushenyu, wilayah Shanxi, ketika 247 pekerja berada di bawah tanah.

Kebanyakan pekerja berjaya dibawa keluar pada awal pagi Sabtu, namun sekurang-kurangnya 90 orang disahkan maut manakala sembilan lagi masih hilang.

Insiden pada Jumaat merupakan bencana perlombongan terburuk di China sejak 2009, apabila 108 orang terbunuh dalam letupan lombong di wilayah Heilongjiang di timur laut negara itu.

Presiden China, Xi Jinping, mengarahkan usaha habis-habisan bagi merawat mangsa cedera serta menggesa siasatan menyeluruh dijalankan terhadap punca kejadian.

Beliau menegaskan, semua wilayah dan jabatan perlu mengambil pengajaran daripada insiden tersebut, termasuk berwaspada terhadap keselamatan tempat kerja serta tegas mencegah dan membendung kemalangan berskala besar.

Menurut Xinhua, individu yang bertanggungjawab terhadap syarikat terlibat dalam letupan itu ditahan mengikut peruntukan undang-undang.

Media kerajaan pada awalnya melaporkan empat kematian serta puluhan pekerja terperangkap selepas tahap karbon monoksida, gas sangat beracun dan tidak berbau, di dalam lombong didapati ‘melebihi had selamat’.

Namun, angka korban kemudian meningkat dengan ketara ketika operasi penyelamatan diteruskan pada pagi semalam.
Walaupun tahap keselamatan lombong di China bertambah baik, kemalangan masih kerap berlaku dalam sektor yang sering dikaitkan dengan pematuhan prosedur keselamatan yang longgar.

Pada 2023, kejadian runtuhan di lombong terbuka di wilayah utara Mongolia mengorbankan 53 nyawa.- AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN