PETALING JAYA: Korea Selatan merangkul kejuaraan Piala Uber 2026 selepas menewaskan China 3-1 dalam aksi final penuh mendebarkan di Forum Horsens, sekali gus menafikan impian lawan mempertahankan gelaran.
Skuad Korea Selatan tampil dengan percaturan taktikal berani apabila memisahkan gandingan beregu wanita utama Baek Ha Na dan Lee So Hee, satu keputusan yang akhirnya menjadi kunci kejayaan.
Perseorangan wanita No.1 dunia, An Se Young, membuka tirai kemenangan Korea apabila mudah menundukkan Wang Zhi Yi 21-10, 21-13 dalam masa 47 minit.
Kemenangan itu turut mengukuhkan dominasi Se Young ke atas pemain China berkenaan apabila merekodkan 20 kemenangan daripada 25 pertemuan antara mereka.
China kembali menghidupkan peluang apabila pasangan No.1 dunia Liu Sheng Shu dan Tan Ning mengikat kedudukan 1-1 selepas menewaskan Jeong Na Eun dan Lee So Hee 21-15, 21-12.
Namun Korea Selatan kembali berada di depan menerusi aksi perseorangan kedua Kim Ga Eun yang mengejutkan Chen Yu Fei 21-19, 21-15 dalam tempoh 55 minit.
Saat penentuan, gandingan Baek Ha Na dan Hye Jeong tampil cemerlang apabila bangkit menewaskan Jia Yi Fan dan Zhang Shu Xian 16-21, 21-10, 21-13 untuk mengesahkan kejuaraan.
Sejurus mata kemenangan diraih, pemain Korea Selatan meraikan kejayaan penuh emosi di gelanggang bersama Baek Ha Na dan Hye Jeong yang menjadi wira perlawanan akhir itu. – UTUSAN










