PETALING JAYA: Bekas pengendali skuad hoki negara, Muhammad Dharma Raj Abdullah terus mengukuhkan reputasinya di pentas antarabangsa apabila dinobatkan sebagai Jurulatih Terbaik Indonesia 2026.
Pengiktirafan tersebut diterima pada majlis The Game Changer Award anjuran Jawatankuasa Olimpik Indonesia yang berlangsung hari ini.
Dharma Raj yang kini memegang peranan sebagai pengarah teknikal hoki Indonesia berkongsi kejayaan itu menerusi media sosial miliknya
“Jurulatih terbaik Indonesia 2026,” tulisnya.
Kejayaan jurulatih kelahiran Malaysia itu turut mendapat perhatian Federasi Hoki Indonesia yang menyifatkan beliau sebagai individu penting dalam kebangkitan prestasi hoki republik berkenaan.
Menurut badan induk hoki Indonesia itu, anugerah diterima Dharma Raj menjadi penghargaan terhadap dedikasi serta sumbangan besarnya dalam pembangunan sukan hoki negara jiran tersebut.
Sejak dilantik menggalas tugas sebagai pengarah teknikal pada Mac 2021, Dharma Raj berjaya mengubah landskap hoki Indonesia sehingga muncul antara kuasa baharu di rantau Asia Tenggara.
Antara pencapaian terbesar beliau adalah membantu skuad hoki dalam dewan lelaki Indonesia meraih pingat emas pertama di Sukan SEA 2023 sebelum mempertahankan kejayaan itu pada Sukan SEA 2025 dengan kedua-duanya hadir selepas menewaskan Malaysia di final.
Sebelum berhijrah ke Indonesia, Dharma Raj terlebih dahulu mencipta reputasi cemerlang bersama skuad wanita negara apabila menghadiahkan emas Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 selain membawa skuad remaja lelaki Malaysia muncul di tempat keempat Piala Dunia Remaja Hoki 2013 yang kekal sebagai pencapaian terbaik negara setakat ini. – UTUSAN










