DBKL perkenal garis panduan kerja tanah berfasa

DBKL perkenal garis panduan kerja tanah berfasa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Garis panduan baharu mewajibkan kerja tanah di kawasan cerun akan dilaksanakan secara berfasa bagi mengurangkan risiko banjir lumpur dan aliran air tidak terkawal di ibu negara.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Fadlun Mak Ujud berkata, ia akan digunakan terhadap pembangunan di kawasan cerun, terutama tapak yang mempunyai kecerunan melebihi 25 darjah.

Katanya, kerja tanah selepas ini tidak lagi boleh dilakukan secara menyeluruh terhadap keseluruhan tapak pembangunan, sebaliknya pemaju perlu melaksanakan kerja tanah mengikut fasa dan hanya boleh membuka fasa seterusnya selepas fasa terdahulu disahkan mematuhi pelan yang diluluskan.

“Pemaju tidak boleh lagi buat kerja tanah keseluruhan tanah, sebaliknya harus buat fasa ke fasa, setelah kita kata okey untuk fasa pertama, baru mereka boleh buka fasa kedua.

“Ini boleh memastikan aliran air mengikut pelan yang diluluskan,” katanya pada Program Earth Day di Taman Persekutuan Bukit Kiara, hari ini. Majlis dirasmikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh. 

Fadlun berkata, langkah itu diambil sebagai iktibar daripada isu pembangunan di Taman Tun Dr. Ismail (TTDI) yang sebelum ini mencetuskan kebimbangan penduduk susulan kejadian banjir lumpur.

“Kita ambil iktibar daripada pembangunan yang berlaku di TTDI, jadi semua pembangunan di kawasan cerun terutama lebih 25 darjah, kita akan lebih menguatkuasakan kerja-kerja tanah selepas ini.

“Sebab 25 darjah ini sangat curam, kita kena pastikan cerun semua dalam keadaan terjaga dan semua pelan kerja tanah dikuatkuasakan mengikut fasa,” katanya.

Menurut Fadlun, pendekatan itu bagi memastikan pemaju tidak membuka keseluruhan kawasan pembangunan secara serentak sebelum aspek aliran air dan kestabilan cerun dinilai mengikut fasa.

“Kawalan lebih ketat itu penting bagi memastikan pembangunan di kawasan cerun tidak memberi kesan kepada kawasan sekitar, terutama ketika hujan lebat,” katanya.

Sambutan Hari Bumi di Taman Persekutuan Bukit Kiara turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh dan Presiden Friends of Bukit Kiara (FoBK), Leon Koay.

Majlis itu turut menyaksikan pelancaran Buku Kecil Bukit Kiara Edisi Kedua. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN