Brendan panggil 34 pemain

Brendan panggil 34 pemain

Jurulatih dari Afrika Selatan itu turut menyenaraikan tiga pemain daripada skuad remaja iaitu Safwan Salihe, Rahuul Fazrien Nazrien dan Nabil Irfan Mohd Yusof dalam usaha mengetengahkan bakat baharu.- IHSAN FIH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Seramai 34 pemain dipanggil oleh ketua jurulatih hoki kebangsaan, Brendan Carolan untuk menjalani kem latihan yang dijadual bermula hari ini bagi menghadapi tiga kejohanan utama.

Jurulatih dari Afrika Selatan itu turut menyenaraikan tiga pemain daripada skuad remaja iaitu Safwan Salihe, Rahuul Fazrien Nazrien dan Nabil Irfan Mohd Yusof dalam usaha mengetengahkan bakat baharu.

Brendan berkata, proses pemilihan pada kali ini dibuat berdasarkan prestasi serta tahap kecergasan semasa pemain hasil daripada pemantaunya terhadap saingan Liga Hoki Malaysia (LHM).

“Berdasarkan apa yang dipamerkan oleh 34 pemain ini, barisan kejurulatihan melihat mereka ini layak untuk berada di sini dan pemain yang dipilih bukan sekadar bersandarkan reputasi lepas.

“Namun pintu pasukan kebangsaan sentiasa terbuka untuk pemain yang layak mendapat peluang. Pasukan kebangsaan akan berdepan dengan jadual yang padat dan kami melihat ini sebagai satu perjalanan yang panjang,” katanya.

Kejohanan utama yang paling hampir disertai Speedy Tigers adalah Piala Negara-Negara di Afrika Selatan pada 11 hingga 20 Jun dan kemudiannya Piala Dunia di Belgium dari 14 hingga 30 Ogos sebelum berlepas ke Aichi-Nagoya bagi menghadapi Sukan Asia dari 19 September hingga 4 Oktober.

Malaysia juga bakal mengadakan lima siri perlawanan persahabatan menentang Afrika Selatan selepas mereka selesai menjalani kempen Piala Negara-Negara.

Dalam senarai panggilan kali ini Carolan mengekalkan sebahagian besar skuad terdahulu antaranya, gandingan adik-beradik Fitri dan Faizal Saari, Norsyafiq Sumantri, Akhimullah Anuar Esook serta Muhammad Marhan Mohd Jalil.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN