ASEAN perlu wujudkan mekanisme makanan serantau

ASEAN perlu wujudkan mekanisme makanan serantau

ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: ASEAN perlu segera mewujudkan mekanisme keterjaminan makanan serantau sebagai langkah menghadapi krisis global yang boleh menjejaskan bekalan makanan dan kestabilan harga di rantau ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, negara anggota ASEAN perlu meneroka mekanisme simpanan makanan serantau ketika krisis bagi memastikan penyelarasan serta tindak balas kecemasan dapat dilaksanakan lebih pantas.

Katanya, krisis tenaga ketika ini mula memberi kesan langsung terhadap keselamatan makanan apabila kenaikan harga bahan api meningkatkan kos baja, pengangkutan dan pengeluaran makanan sehingga memberi tekanan kepada bekalan di seluruh rantau ASEAN.

Menurutnya, sekiranya gangguan global terus berpanjangan, ASEAN berdepan risiko pengurangan hasil pengeluaran makanan serta inflasi makanan berterusan sehingga tahun depan.

“Keselamatan makanan perlu dianggap sebagai keutamaan strategik serantau.

“ASEAN juga perlu memperkukuh mekanisme Rizab Beras Kecemasan ASEAN Campur Tiga (APTERR) dan mempertimbang peluasan kerjasama melangkaui simpanan beras termasuk aspek keselamatan baja,” katanya ketika menyampaikan ucapan pada Sidang Kemuncak ASEAN Ke-48 di Cebu, Filipina hari ini.

Anwar berkata, konflik yang memuncak di Asia Barat turut mengingatkan ASEAN mengenai tanggungjawab bersama melindungi rakyat rantau ini yang berada di kawasan terjejas.

Menurutnya, jutaan rakyat ASEAN tinggal dan bekerja di seluruh Asia Barat, lantas menjadikan keselamatan mereka sebagai keprihatinan bersama negara anggota.

“Daripada pekerja migran dan pelaut hingga anggota pengaman serta pelajar, risiko yang berpunca daripada ketidakstabilan serantau menuntut penyelarasan yang lebih kukuh dalam kalangan kita,” ujarnya.

Perdana Menteri menegaskan ASEAN perlu memperkukuh perkongsian maklumat, kerjasama konsular dan mekanisme tindak balas kecemasan bagi memastikan kebajikan rakyat rantau ini terus terpelihara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN