ISU filem tak laku masih lagi menjadi perbahasan yang mencuri tumpuan peminat filem Malaysia. Ada yang kekal menyalahkan selera penonton; didakwa enggan menyokong naskhah selain aksi dan seram hinggalah ‘ritual’ menunggu filem memasuki platform penstriman.
Bagaimanapun, tidak adil menyalahkan satu pihak sahaja kerana pada akhirnya dalam dunia ekonomi semakin menekan ini, semua orang ada hak untuk memilih bagaimana duit dibelanjakan.
Enggan memandang sebelah mata, upaya dan strategi pemasaran yang diguna pakai penerbit juga wajar dipersoalkan. Adakah model perniagaan mereka ‘menjual’ filem ke panggung dianggap sudah cukup meyakinkan? Selaku penerbit muda yang mana filem perdananya berjaya membolosi kutipan lebih RM10 juta, Aedy Ashraf berkata, penting untuk penerbit filem mempunyai mentaliti ‘tidak boleh gagal’.
Tanpa menafikan soal rezeki, Aedy dan pasukan rumah produksi Alpha47 Films berkata, mereka percaya kepada kerja keras termasuklah menekankan soal pemasaran filem. Perkara itu yang diberi tumpuan menyebabkan Tarung: Unforgiven berjaya mengutip RM20.3 juta ringgit sepanjang tayangannya.
“Di bawah rezeki adalah kerja keras. Saya tak kata orang lain yang buat filem tidak bekerja keras, cuma kami di Alpha47 ada mentaliti tidak boleh gagal. Itu menjadi prinsip saya dan pengarah Razaisyam Rashid pegang.
“Kami menjaga produk, sama seperti bayi. Apabila masuk kepada bab pemasaran memang kami lakukan habis-habisan. Sepanjang dua bulan, kami tidak cuti bekerja dari Isnin sampai Ahad.
“Saya fikir Allah itu Maha Adil, mungkin Dia nampak kami bekerja kuat gila dan Dia beri apa yang kami mahu. Saya rasa itu formulanya,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, baru-baru ini.
Lebih seronok menjalani perjalanan baharunya, Aedy atau Mohammad Addy Ashraf Rosmadi, 33, berkata fokusnya sekarang lebih tertumpu kepada kerja penerbitan dan hanya berlakon dalam filem terbitannya sahaja buat masa ini.
“Buat masa sekarang ini saya nak fokus sebagai penerbit. Kalau saya berlakon sekalipun, dalam filem saya sendiri sahaja. Sebab ini apa yang saya impikan 10 tahun lepas dan sekarang saya sedang menjalaninya.
“Tapi kalau ada cerita yang sangat bagus, yang lain daripada yang lain, saya akan buatlah. Tapi fokus saya sekarang sekali lagi adalah pada Alpha47 sahaja,” jelasnya.
Tarung: Unforgiven menjaya membolosi 10 pencalonan untuk Festival Filem Malaysia (FFM) ke-35, selepas Malam Terlarang dan Khadam masing-masing dengan 12 pencalonan. Walaupun Tarung tidak berjaya membolosi kategori Filem Terbaik, Aedy tetap berpuas hati dengan senarai yang diumumkan FFM, baru-baru ini.
“Tercalon dalam 10 kategori FFM untuk filem pertama sudah menjadi impian kami di Alpha47 sebab projek ini sudah kami usahakan selama dua tahun untuk capai tahap ini.
“Cuma kami tidak tercalon dalam Filem Terbaik, namun tidak mengapa kategori lain pun besar juga dan saya berharap ia akan membuahkan hasil sedikitlah.
“Secara keseluruhannya, ‘Top 5’ setiap kategori dipertandingkan sudah cukup kuat untuk bersaing. Saya dan seluruh pasukan sangat bersyukur,” katanya.
Terdahulu Tarung: Unforgiven membolosi 10 kategori FFM iaitu Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik, Penyunting Terbaik, Pelakon Pembantu Wanita Terbaik, Skor Muzik Asal Terbaik, Aksi dan Lagak Ngeri Terbaik, Pelakon Lelaki Harapan, Penataan Bunyi Terbaik, Pengarah Terbaik, Sinematografi Terbaik, dan Tatarias Solekan Terbaik.
Festival Filem Malaysia Ke-35 (FFM35) dijadualkan berlangsung pada 21 November 2026.











