DENPASAR: Ratusan penduduk mengadakan demonstrasi membantah kekurangan petrol di pulau peranginan Bali, Indonesia yang menurut pihak berkuasa berpunca daripada gangguan bekalan, ketika barisan kenderaan di stesen minyak semakin panjang sehingga mengambil masa berjam-jam.
Minggu ini, pihak berkuasa menggesa penduduk supaya bertenang dengan menjelaskan bekalan bahan api di pulau itu masih mencukupi. Bali bergantung pada bekalan petrol dan diesel yang dihantar dari luar pulau.
Menurut wartawan AFP, barisan kenderaan di beberapa stesen minyak di ibu negeri wilayah itu, Denpasar mencecah lebih satu kilometer pada Khamis, manakala kira-kira 500 orang berhimpun di luar pejabat gabenor.
“Keadaan ini benar-benar huru-hara. Kami terpaksa beratur selama empat hingga lapan jam. Saya hanya berharap tindak balas kerajaan akan jauh lebih baik,” kata seorang mahasiswa yang menyertai demonstrasi itu, Adolf Alfino, 21, kepada AFP.
Syarikat minyak dan gas milik kerajaan, Pertamina berkata, gangguan bekalan itu berpunca daripada kelewatan pengedaran selepas sebuah kapal tangki menghadapi masalah memunggah kargonya.
Kapal tangki yang membawa lebih 22 juta liter bahan api itu tiba di Bali pada Selasa. Bekalan berkenaan dijangka mampu memenuhi permintaan di pulau peranginan itu sehingga tujuh hari, kata Gabenor Bali, I Wayan Koster pada hari sama.
Bagaimanapun, seorang lagi peserta demonstrasi, Ibram Syahbani meluahkan rasa kecewa kerana kerajaan gagal menyelesaikan masalah itu dalam tempoh dua hari seperti yang dijanjikan.
“Saya benar-benar sudah muak dengan keadaan sekarang. Keluarga saya dan saya sendiri turut terjejas teruk. Mahu atau tidak, kami terpaksa beratur,” kata pekerja kedai berusia 23 tahun itu kepada AFP.
Koster mengarahkan kakitangan kerajaan bekerja dari rumah selama tiga hari bermula Khamis, manakala sekolah dan universiti beralih kepada pembelajaran dalam talian sepanjang tempoh sama.
Indonesia turut berdepan masalah kekurangan bahan api sejak awal tahun ini susulan perang Iran yang menjejaskan bekalan tenaga global.
Pada Mac, Jakarta memperkenalkan dasar mengehadkan pembelian bahan api dan mengarahkan penjawat awam bekerja dari rumah setiap Jumaat sebagai sebahagian usaha kerajaan menjimatkan tenaga.-AFP











