PETALING JAYA: Tanpa Pearly Tan ataupun bersama pemain itu,sasaran skuad Piala Uber negara tetap sama iaitu sekurang-kurangnya mampu melangkah sehingga ke suku akhir pada kejohanan yang berlangsung di Horsens, Denmark, 24 April-3 Mei ini.
Bintang No. 2 dunia itu menarik diri pada saat akhir apabila masih belum pulih daripada kecederaan belakang yang dialaminya sewaktu menyertai Kejohanan Badminton Asia di Ningbo, China, minggu lalu.
“Tiada keinginan lain, melainkan berada di dalam gelanggang, berjuang setiap mata dan bersama pasukan saya. Tetapi disebabkan kecederaan belakang saya perlu berundur.
“Keputusan ini amat memeritkan saya kerana tidak dapat bersama rakan sepasukan, saya memohon maaf dari lubuk hati kerana tidak dapat berjuang bersama anda semua, sokongan saya tetap bersama anda,” katanya menerusi perkongsian di media sosial.
Diundi di dalam Kumpulan B, satu-satunya laluan getir buat Malaysia adalah bertemu juara enam kali, Jepun, manakala, dua lagi pencabar, Turki dan Afrika Selatan bukanlah lawan yang kuat buat skuad wanita negara sekali gus tiada masalah untuk muncul naib juara Kumpulan B.
Satu-satunya senjata berbahaya yang dimiliki skuad wanita ialah gandingan Pearly dan M. Thinaah, tetapi, tanpa anak jati Kedah itu tidak pula memberi sebarang perubahan kepada peluang Malaysia.
Memandangkan Piala Uber merupakan acara berpasukan, satu mata yang mungkin mampu disumbangkan daripada beregu wanita No. 1 negara itu tidak memberi sebarang makna kepada keputusan perlawanan secara keseluruhannya.
Malaysia yang dibarisi rata-rata pemain muda berumur bawah 25 tahun, Thinaah, 28, muncul pemain paling senior dan kapten Malaysia itu dijangka berpasangan dengan Chong Jie Yu yang berusia 20 tahun.
Untuk mencongak lawan Malaysia di peringkat kalah mati agak sukar kerana undian semula akan dilaksanakan oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF) sebaik saingan peringkat awal berakhir dengan dua pasukan terbaik setiap kumpulan meneruskan kemaraan.
Misi skuad wanita kini adalah mengelak daripada diaibkan, jangan sampai tumbang tanpa berbalas mata kerana maruah negara turut menjadi pertaruhan mereka berdepan calon juara Piala Uber itu.
Dalam perkembangan sama, Dua pemain beregu No.2 dunia iaitu Aaron Chia dan Thinaah diberi kepercayaan menggalas tanggungjawab besar apabila dilantik sebagai kapten skuad negara bagi menghadapi saingan Piala Thomas dan Piala Uber di Horsens, Denmark.-UTUSAN










