TOKYO: Japan Airlines (JAL) akan mula menggunakan robot humanoid untuk tugas pengendalian darat di Lapangan Terbang Haneda, Tokyo, bermula Mei ini dalam percubaan selama dua tahun yang bertujuan mengurangkan beban pekerja.
Sebagai permulaan, robot buatan China itu akan digunakan untuk memuat dan memunggah kontena kargo, menurut JAL dan GMO AI & Robotics, rakan kerjasama projek tersebut, dalam satu demonstrasi kepada media pada Isnin.
Industri penerbangan Jepun kini berdepan kekurangan tenaga kerja susulan peningkatan jumlah pelancong dan penurunan populasi usia bekerja, kata JAL, yang menggaji kira-kira 4,000 kakitangan pengendalian darat.
Syarikat penerbangan itu berharap robot berkenaan juga dapat digunakan untuk membersihkan kabin serta mengendalikan peralatan sokongan pada masa hadapan.
Robot sudah digunakan di beberapa lapangan terbang di seluruh Jepun, termasuk untuk rondaan keselamatan dan operasi runcit.
Jepun menerima lebih tujuh juta pelawat asing dalam tempoh dua bulan pertama tahun ini, menurut statistik JTB Group, yang mengendalikan agensi pelancongan terbesar negara itu.
Penggunaan robot untuk tugasan yang memerlukan tenaga fizikal dijangka memberikan manfaat ketara kepada pekerja, menurut laporan agensi berita Kyodo yang memetik Presiden Perkhidmatan Darat JAL, Yoshiteru Suzuki.
Bagaimanapun, beliau menegaskan beberapa tugas, termasuk pengurusan keselamatan hanya boleh dikendalikan oleh manusia.- BBC










