GEORGE TOWN: Salah seorang daripada dua mangsa yang dilaporkan maut dalam kebakaran yang berlaku di sebuah rumah kedai dua tingkat di Jalan Lebuh King di sini, tengah hari tadi merupakan seorang bekas peguam terkenal di Pulau Pinang.
Difahamkan, mangsa dikenal pasti sebagai Datuk San Markan Ganapathi, 88, manakala mangsa kedua pula ialah seorang wanita yang juga merupakan kerani di pejabat guaman itu yang dikenali sebagai B. Chandra, 60.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, Mohd. Shoki Hamzah berkata, mayat mangsa pertama iaitu peguam terbabit ditemukan dalam keadaan terduduk di atas kerusi berhampiran meja pejabat di tepi tingkap dan dipercayai meninggal dunia akibat terhidu asap tebal.
Katanya, mangsa kedua pula dijumpai kira-kira pada pukul 3.26 petang di tingkat atas bangunan berhampiran dinding dalam keadaan tertimbus di bawah timbunan fail selepas berlaku runtuhan struktur bangunan tersebut.
“Kebakaran dipercayai melibatkan tingkat atas bangunan yang ketika itu sedang beroperasi, manakala tingkat bawah pula difahamkan tidak digunakan pada hari kejadian.
“Ketika operasi pula, pasukan penyelamat berdepan kesukaran akibat asap tebal selain struktur bangunan yang rapuh serta runtuhan lantai di bahagian tertentu kerana bangunan ini dibina menggunakan struktur lama yang sebahagiannya diperbuat daripada kayu dan simen, sekali gus menyukarkan operasi pemadaman dan menyelamat,” katanya kepada pemberita, hari ini.
Menurut beliau, kedua-dua mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut sebelum dihantar ke unit forensik Hospital Pulau Pinang (HPP) bagi proses bedah siasat.
“Buat masa ini, punca kebakaran juga masih dalam siasatan pihak forensik JBPM,” ujar beliau. – UTUSAN










