NILAI: Datuk Azizulhasni Awang meneruskan momentum cemerlang apabila mara ke pusingan pertama acara pecut individu selepas mencatat masa ketiga terpantas dalam sesi kelayakan Piala Dunia Trek di Velodrom Nasional Malaysia, Nilai, hari ini.
Jaguh berusia 38 tahun itu merekodkan 9.601 saat (s) untuk berada di belakang juara dunia dari Belanda, Harrie Lavreysen yang muncul terpantas dengan 9.414s, manakala Nicholas Paul mencatat masa kedua terbaik, 9.464s.
Catatan tersebut sekali gus memperlihatkan peningkatan ketara Azizulhasni selepas sebelum ini merekodkan 9.702s di Perth, sekali gus memberi isyarat positif prestasinya terus memuncak di laman sendiri.
Lebih menarik, kejayaan itu hadir kurang 24 jam selepas Azizulhasni mencipta sensasi menjuarai acara keirin untuk menghadiahkan emas kedua musim ini kepada Malaysia.
Turut mencuri tumpuan ialah Muhammad Shah Firdaus Sahrom yang kembali bangkit daripada kecederaan lutut apabila berjaya melangkah ke pusingan pertama selepas menamatkan kelayakan di tempat ke-25 dengan masa 9.895s.
Keputusan tersebut sudah memadai untuk membawa Shah ke pusingan seterusnya apabila hanya 28 pelumba terbaik layak beraksi dalam pusingan pertama.
Dalam saingan keirin wanita, Nur Alyssa Farid dan Nurul Izzah Izzati Mohd Asri turut mempamerkan kayuhan bertenaga apabila kedua-duanya mara ke pusingan kedua acara keirin. – UTUSAN










