PETALING JAYA: Kenyataan senator Filipina yang menggesa agar tuntutan ke atas Sabah dihidupkan semula disifatkan sebagai provokasi tidak bertanggungjawab serta berpotensi menggugat kestabilan serantau.
Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) berkata, Sabah merupakan wilayah sah Malaysia yang tidak boleh dipertikaikan, malah kedudukannya telah dimuktamadkan melalui proses sejarah serta pengiktirafan antarabangsa.
Menurutnya, sebarang cubaan untuk mempersoalkan kedaulatan Sabah adalah tidak boleh diterima dan perlu ditolak sepenuhnya oleh semua pihak.
“Usaha menghidupkan semula tuntutan lapuk ini adalah tindakan regresif yang mencabar prinsip kedaulatan negara serta mencabul semangat persefahaman dalam kalangan negara ASEAN.
“ABIM berpandangan bahawa mengaitkan isu kedaulatan wilayah dengan kepentingan sumber seperti minyak adalah pendekatan sempit dan berbahaya.
“Ia membuka ruang kepada politik oportunistik yang boleh mencetuskan ketegangan geopolitik, sekali gus menggugat kestabilan yang telah lama dipupuk dalam kalangan negara serantau,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, kenyataan itui menjadi lebih membimbangkan apabila Filipina memegang peranan sebagai Pengerusi ASEAN.
“Walaupun kenyataan tersebut tidak mewakili pendirian rasmi kerajaan Filipina mahupun ASEAN, kegagalan untuk menjarakkan dan memperbetulkan naratif seumpama ini secara jelas berisiko menjejaskan kredibiliti kepimpinan serantau.
“Ia akan menimbulkan persepsi bahawa prinsip asas ASEAN khususnya penghormatan terhadap kedaulatan dan tidak campur tangan, sedang terhakis,” katanya.
Menurutnya, sejarah membuktikan retorik seperti itu bukan sekadar wacana kosong, malah pernah membawa kepada konflik yang mengorbankan nyawa serta mengancam keselamatan di Sabah.
Sehubungan itu, ABIM menggesa kerajaan Malaysia mengambil pendirian lebih tegas dalam mempertahankan kedaulatan negara melalui saluran diplomatik yang berprinsip.
“Kerajaan Filipina selaku Pengerusi ASEAN perlu bertanggungjawab memperbetulkan serta menjarakkan diri daripada sebarang kenyataan yang bercanggah dengan prinsip ASEAN.
“Sabah bukan sekadar wilayah geografi, tetapi lambang maruah, amanah sejarah dan kedaulatan negara yang tidak boleh dirunding, dipersoal atau dipolitikkan oleh mana-mana pihak luar,” katanya.
Senator Filipina, Robin Padilla, dilaporkan menggesa Presiden Ferdinand Marcos Jr. untuk menghidupkan semula tuntutan negara itu ke atas Sabah, wilayah kaya sumber minyak yang terletak di Pulau Borneo.
Dalam kenyataan di Facebook, Padilla berkata, sudah tiba masanya Manila bertindak tegas bagi ‘menuntut hak’ yang didakwanya milik Filipina, termasuk menghantar wakil rasmi ke kawasan berkenaan.
“Presiden, sekarang adalah masa untuk kita menghidupkan semula tuntutan sah ke atas Sabah.
“Kita mesti bertindak dan menghantar utusan. Borneo Utara sudah pun kaya dengan sumber minyak,” katanya. – UTUSAN










