61,385 calon lulus SPM di Selangor

61,385 calon lulus SPM di Selangor

WAN Nor Ashikin Abu Kassim bercakap pada pengumuman dan sidang akhbar keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Tahun 2025 Negeri Selangor di Sekolah Menengah Kebangsaan Putra Perdana di sini hari ini. - UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Seramai 61,385 calon yang menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 di Selangor layak dianugerahkan sijil berbanding tahun 2024 sebanyak 59, 403 calon sahaja.

Pengarah Pendidikan Jabatan Pendidikan Negeri Selangor, Datin Wan Nor Ashikin Abu Kassim berkata, jumlah itu menunjukkan peningkatan seramai 1,982 orang bersamaan 0.62 peratus berbanding tahun terdahulu.

Menurutnya, Gred Purata Negeri (GPN) juga mencatatkan peningkatan kepada 4.52 berbanding 4.59 pada tahun 2024.

“Bilangan calon yang memperoleh keputusan cemerlang iaitu semua gred A+ dalam semua mata pelajaran adalah seramai 51 orang pada SPM tahun 2025 berbanding dengan 65 orang pada SPM tahun 2024.

“Calon yang memperoleh kombinasi gred A+, A dan A- pula adalah seramai 2,235 orang pada tahun 2025 berbanding dengan 2,368 orang pada tahun sebelumnya,” katanya ketika sidang media pengumuman keputusan peperiksaan SPM tahun 2025 di Sekolah Menengah Kebangsaan Putra Perdana, hari ini.

Wan Nor Ashikin berkata, secara keseluruhannya, 36 mata pelajaran pada SPM tahun 2025 mencatatkan peningkatan daripada 57 mata pelajaran yang ditawarkan.

“Sebanyak 21 mata pelajaran telah menunjukkan penurunan berbanding dengan SPM tahun 2024 berdasarkan Gred Purata Mata Pelajaran (GPMP),” katanya.

Dalam pada itu, 293 daripada 371 Calon Berkeperluan Pendidikan Khas (CBPK) di Selangor juga telah layak dianugerahkan sijil SPM berbanding dengan 242 orang pada tahun sebelumnya.

Mengulas mengenai kehadiran, beliau berkata, kehadiran calon sekolah KPM seramai 66,611 orang iaitu sebabyak 98.66 peratus daripada 67,515 orang.

“Bilangan calon sekolah KPM yang tidak hadir semua mata pelajaran pada SPM tahun ini telah mencatatkan penurunan dengan seramai 904 orang berbanding dengan 1,221 orang pada SPM tahun 2024,” katanya.

Tambahnya, bilangan calon yang mendaftar untuk menduduki peperiksaan SPM Tahun 2025 negeri Selangor adalah seramai 75,477 pertambahan seramai 1,678 orang bersamaan dengan 2.22 peratus berbanding tahun lalu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN