Beku perolehan, ATM kemuka rayuan kepada kerajaan  

Beku perolehan, ATM kemuka rayuan kepada kerajaan  

MALEK Razak Sulaiman (kanan) bercakap pada sidang akhbar selepas Sambutan Mula Tugas PAT ke-24 di Wisma Pertahanan di sini hari ini. - UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan mengemukakan rayuan kepada kerajaan bagi membolehkan perbelanjaan operasi dilepaskan susulan pembekuan sementara perolehannya. 

Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Datuk Malek Razak Sulaiman berkata, pembekuan tersebut memberi kesan langsung kepada operasi harian ATM, khususnya pelaksanaan tugasan di lapangan.

Kata beliau, pembekuan itu bagaimanapun tidak mengganggu pelan pembangunan (development plan) ATM memandangkan ia boleh ditangguhkan dan dimitigasi kemudian. 

“Sebagai contoh, perbelanjaan operasi ini melibatkan perkara rutin seperti makan anggota, bahan api, pergerakan pasukan dan pengangkutan udara.

“Jika perbelanjaan ini dibekukan, kita tidak dapat melaksanakan operasi kerana semua itu perlu dibayar,” katanya dalam sidang akhbar di Wisma Pertahanan di sini, hari ini. 

Malek Razak berkata, Kementerian Pertahanan dan Ketua Setiausaha Kementerian memaklumkan bahawa isu berkenaan kini di peringkat akhir dan akan dibentangkan dalam masa terdekat.

“Dalam tempoh seminggu ini, kita akan mengemukakan rayuan kepada Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) yang juga Menteri Kewangan.

“Ini supaya sekurang-kurangnya perbelanjaan operasi dilepaskan untuk kita teruskan tugas. Jika tidak, kita khuatiri kesiapsiagaan ATM akan menurun,” tegasnya. 

Pada 16 Januari lalu, Anwar dilaporkan berkata, semua keputusan perolehan membabitkan ATM dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan agensi berkaitan yang terkait dengan isu rasuah dibekukan sementara.

Menurutnya, pembekuan itu dilaksanakan oleh kerajaan sehingga proses perolehan dipatuhi sepenuhnya.

Mengulas jumlah perbelanjaan operasi, Malek Razak memaklumkan bahawa anggaran bagi Tentera Darat (TDM) adalah sekitar RM2 bilion, manakala Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) masing-masing sekitar RM1.5 bilion.

“Saya percaya dengan keprihatinan Perdana Menteri dan justifikasi yang kita kemukakan, insya-Allah perbelanjaan operasi ini akan dilepaskan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN