Sokongan semua pihak penting pulihkan integriti, wibawa ATM

Sokongan semua pihak penting pulihkan integriti, wibawa ATM

MOHAMED Khaled Nordin (kanan) ketika Majlis Penganugerahan Pingat Jasa Malaysia bagi tahun 2026, di sini hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kementerian Pertahanan (Mindef) memerlukan sokongan semua pihak termasuk veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk membersihkan kembali nama baik pasukan keselamatan negara.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, Kementerian sentiasa bekerja keras untuk memulihkan integriti dan wibawa ATM serta membetulkan semula persepsi rakyat terhadap institusi pertahanan negara.

Katanya, sebarang isu yang melanda ATM sejak kebelakangan ini sama sekali tidak mencerminkan hakikat sebenar pasukan itu sebagai sebuah institusi yang unggul dan dihormati.

“Ada berlakunya perkara-perkara yang tidak diingini seperti kegelinciran integriti, salah guna kuasa serta gejala hedonisme yang telah mencemarkan nama baik ATM dan menimbulkan keraguan terhadap integritinya.

“Namun, perkara-perkara ini berpunca daripada tindakan segelintir pihak sahaja dan mereka bukan, serta tidak akan pernah menjadi cerminan sebenar ATM,” katanya pada Majlis Penganugerahan Pingat Jasa Malaysia bagi tahun 2026, hari ini.

Menurut Mohamed Khaled, jasa, pengorbanan serta keringat warga veteran ATM merupakan wajah sebenar institusi pertahanan negara yang seharusnya terpancar dalam fikiran rakyat apabila menyebut mengenai ATM.

“Apabila rakyat menyebut tentang ATM, yang sepatutnya terbayang adalah keberanian dan pengabdian veteran ATM, bukannya perbuatan yang mengkhianati amanah terhadap keselamatan dan kedaulatan negara.

“Saya menyeru veteran ATM untuk berganding bahu membantu MINDEF mengembalikan keyakinan masyarakat, bangsa dan negara terhadap ATM kerana mereka lebih mengetahui bahawa gejala negatif tersebut bukan budaya ATM,” katanya.

Tambah beliau, keamanan dan ketenteraman yang dinikmati hari ini wujud hasil pengorbanan dan sumbangan ATM yang berpanjangan, malah perjuangan veteran tidak akan dilupakan oleh negara.

“Saya mengucapkan tahniah kepada semua penerima Pingat Jasa Malaysia serta memberi jaminan bahawa Kementerian Pertahanan dan ATM akan terus berusaha memastikan keselamatan, kebajikan dan kesejahteraan veteran sentiasa terpelihara,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN