KUALA LUMPUR: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berjanji untuk melakukan pembersihan penuh selepas imej institusi pertahanan negara itu terjejas disebabkan masalah integriti dan gejala rasuah baru-baru ini.
Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Datuk Malek Razak Sulaiman berkata, beliau bersama panglima-panglima ATM yang lain akan melakukan pembersihan menyeluruh.
Beliau menegaskan, pengurusan tertinggi ATM di bawah kepimpinannya tidak akan berkompromi dengan perkara atau tindakan yang melanggar tatakelola termasuk aspek pengurusan kewangan dan perolehan.
“Itu adalah janji kita, janji saya dan janji semua yang berada di belakang saya, untuk kita menguruskan ini,” katanya dalam sidang akhbar di Wisma Pertahanan, di sini hari ini.
Turut hadir, Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Dr. Zulhelmy Ithnain; Panglima Tentera Darat, Jeneral Datuk Azhan Md Othman dan Panglima Tentera Udara, Jeneral Datuk Seri Muhamad Norazlan Aris.
Sebelum ini, bekas Panglima Angkatan Tentera, Jeneral (B) Tan Sri Mohd Nizam Jaffar dan bekas Panglima Tentera Darat, Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan didakwa di mahkamah atas tuduhan rasuah dan salah guna kuasa.
Malek Razak berkata, masalah yang menghimpit ATM sebelum ini merupakan wake up call atau panggilan untuk ATM bangun.
Katanya, perkara yang berlaku itu juga membawa hikmah kepada ATM iaitu mengajar untuk melihat kembali dan bermuhasabah diri sama ada sebagai individu mahupun organisasi.
“Ia meminta kita untuk kembali memulihkan keadaan supaya ATM lebih stabil dan bersedia sebab organisasi ATM adalah sebuah organisasi yang berdaya tahan,” katanya.
Beliau berkata, kini merupakan masa untuk ATM bangkit semula dan menguruskan masalah yang sudah berlaku.
“Jadi, saya berjanji dan saya percaya dengan adanya panduan strategik daripada Kementerian Pertahanan (Mindef) dan saya mendapat mandat utama daripada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.
“Itu memberikan satu keyakinan baharu untuk kami, saya dan semua panglima untuk terus melihat tatakelola ini, memperbetulkan dan terus menganjak menuju angkatan masa hadapan sebagaimana yang digariskan dalam pelan strategik ATM,” katanya. – UTUSAN










