Strategi komunikasi lemah, 46 peratus tidak tahu inisiatif kerajaan

Strategi komunikasi lemah, 46 peratus tidak tahu inisiatif kerajaan

SHAMSUL AZRI ABU BAKAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar mendedahkan, sejumlah 46 peratus daripada rakyat tidak mengetahui segala inisiatif kerajaan walaupun selama tiga tahun pentadbiran Kerajaan Madani.

Dalam hal ini, beliau berkata, ia menunjukkan strategi komunikasi kerajaan adalah lemah dan perlu ditambah baik agar setiap inisiatif yang dilakukan benar-benar sampai, difahami dan diketahui rakyat.

Katanya, isu komunikasi turut diberi perhatian serius kepimpinan tertinggi negara ketika sesi Pemukiman Jemaah Menteri 2026 pada 10 hingga 11 Januari lalu selain mahukan pelaksanaan pantas, disusuli dengan tindakan tegas susulan dan ikuti rapat setiap pelaksanaan projek secara konsisten.

“Kerajaan buat banyak inisiatif tapi rakyat tak tahu. Contohnya masa kita buat ulang tahun ketiga Kerajaan Madani, kita bersemuka (tanya rakyat) yang hadir. Sebanyak 46 peratus kata tidak sedar pun dengan inisiatif kerajaan walaupun tiga tahun kita dah buat.

“Jadi maknanya menunjukkan bahawa komunikasi kita agak lemah. Oleh itu tahun ni kita kena perbaiki komunikasi kita. Kementerian kena pastikan bahawa apa yang dibuat itu dipahami dan diketahui oleh rakyat dan kurangkan penggunaan ‘bahasa

Putrajaya’ ini. Kita banyakkan bahasa yang orang boleh faham,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan amanat Ketua Setiausaha Kerajaan (KSN) di sini hari ini.

Menurut Shamsul Azri, hala tuju perkhidmatan awam pada tahun ini ialah berasaskan tema “Mempercepat Pelaksanaan, Memperhebat Reformasi” yang bukan bertindak terburu-buru, tetapi bertindak dengan kejelasan, keberanian dan disiplin.

Katanya, Ia menuntut keputusan yang pantas, proses yang dipermudah, serta keupayaan menterjemahkan dasar kepada tindakan tanpa kelewatan yang tidak perlu.

Dalam konteks ini, katanya, kelajuan bukan diukur pada banyaknya mesyuarat atau dokumen yang dihasilkan, tetapi pada sejauh mana keputusan dapat dilaksanakan dan memberi kesan langsung kepada rakyat.

“Memperhebat reformasi pula bererti memastikan usaha pembaharuan tidak terhenti pada perubahan prosedur semata-mata, tetapi benar-benar mengubah cara berfikir, cara bekerja dan cara kita berkhidmat.

“Reformasi bermakna ialah reformasi yang menghapuskan birokrasi yang tidak perlu, menutup ruang ketirisan, memperkukuh akauntabiliti serta membina budaya kerja yang berorientasikan hasil dan rakyat,” katanya.

Beliau berkata, dalam tempoh tiga tahun pentadbiran Kerajaan Madani, sebanyak 24 dasar utama yang diluncurkan maka tahun ini sehingga 2027 adalah tahun pelaksanaan segala dasar itu.

“Tetapi untuk membolehkan kesemua itu dilakukan, kita kena ubah daripada reformasi kerenah birokrasi kepada reformasi yang berbentuk kepada jati diri, sikap dan roh yang perlu ada dalam penjawat awam ini iaitu bila buat kerja, kita suka, buat dengan cepat dan bantu rakyat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN