KUALA LUMPUR: Misi pencarian pesawat Malaysia Airlines (MH370) menggunakan kapal yang dilengkapi Kenderaan Bawah Air Autonomi (AUV) bagi mempertingkat keupayaan pencarian dasar laut.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, penggunaan teknologi AUV berkenaan membolehkan operasi pencarian dilaksanakan secara lebih tersusun, telus dan berkesan menerusi pemantauan berterusan oleh kapal sokongan.
Katanya, AUV itu dipantau secara berkala dan diambil semula apabila diperlukan bagi tujuan memuat turun data, menukar bateri dan membuat persediaan untuk pelancaran seterusnya, sekali gus memastikan kelangsungan operasi pencarian di kawasan sasaran.
“Kementerian Pengangkutan menyelaras operasi pencarian dasar laut bagi mengesan bangkai pesawat MH370 di satu lokasi baharu di Selatan Lautan Hindi yang dianggarkan seluas 15,000 kilometer persegi, berdasarkan prinsip no find, no fee (tidak jumpa, tiada bayaran) bersama Ocean Infinity.
“Kawasan pencarian baharu itu ditentukan berasaskan maklumat serta analisis data terkini yang dilakukan oleh pakar termasuk dari Aalto University di Finland dan Linkoping University di Sweden.
“Sehingga 16 Januari 2026, operasi pencarian bangkai MH370 telah meliputi kawasan seluas 13,143 kilometer persegi,” katanya dalam jawapan bertulis Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Shamsulkahar Mohd. Deli (BN-Jempol) mengenai peranan Kementerian Pengangkutan menyelaras kerjasama diplomatik dengan negara pesisir Lautan Hindi dan organisasi antarabangsa bagi memastikan operasi semula pencarian MH370 dilaksanakan secara telus serta pelan tindakan sekiranya tiada penemuan baharu.
Siew Fook berkata, pihaknya mengemukakan laporan hasil pencarian Ocean Infinity secara berkala kepada waris dan keluarga mangsa menerusi Post Accident Office Malaysia Airlines System (MAS).
“Biro Siasatan Kemalangan Udara (BKSU), Pihak Berkuasa Penerbangan Awam (CAAM), Post Accident Office Malaysia Airlines System (MAS), Australia Transportation Safety Board (ATSB) dan National Transportation Safety Board (NTSB) menjalinkan kerjasama melalui Pasukan Pakar Teknikal.
“Sebarang tindakan susulan akan dibuat berdasarkan maklumat yang sahih dan kukuh,” katanya. – UTUSAN










