PUTRAJAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan bertemu dengan wakil platform X minggu hadapan bagi membincangkan isu berkaitan Grok, aplikasi kecerdasan buatan (AI) milik platform itu.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, persetujuan mengenai pertemuan itu telah dimaklumkan kepada MCMC pagi tadi.
“Setakat jam 10 pagi tadi, pihak MCMC memaklumkan bahawa mereka telah berhubung dengan pihak X untuk cuba adakan pertemuan pada minggu hadapan.
“Tapi ada beberapa perkara yang akan disahkan sebelum pertemuan itu berjalan. Tapi mereka (MCMC dan X) ada berhubung dan sekarang kita nantikan maklumat terakhir,” katanya dalam sidang akhbar selepas mesyuarat mingguan Jemaah Menteri di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada MCMC akan mengambil tindakan undang-undang terhadap platform X susulan isu Grok.
MCMC sebelum ini memutuskan untuk menyekat sementara akses kepada platform kecerdasan buatan (AI) Grok bagi pengguna di negara ini susulan penyalahgunaan Grok berulang kali untuk menjana kandungan lucah, kandungan seksual eksplisit, kandungan tidak senonoh yang jelik melampau serta imej manipulasi tanpa persetujuan.
Fahmi juga memaklumkan sedang mempertimbangkan tindakan perundangan terhadap platform X berikutan kegagalan memastikan aspek keselamatan dalam talian menerusi aplikasi Grok itu.
Selain Malaysia, Indonesia turut menyekat sementara akses kepada Grok, alat AI milik Elon Musk yang kini disepadukan dengan platform X, selepas timbul kebimbangan tentang kandungan pornografi dan deepfake seksual yang dihasilkan oleh AI. – UTUSAN










