KUALA LUMPUR: Pengambilan guru baharu di seluruh negara kini dibuat mengikut Dasar Pengambilan Guru Secara Sistem Terbuka bagi memastikan proses pemilihan lebih telus, teratur dan memenuhi keperluan sebenar sekolah.
Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, dasar yang diluluskan oleh Jemaah Menteri pada 30 Oktober 2015 itu menekankan dua kumpulan calon utama, namun graduan pendidikan berikhtisas kekal menjadi keutamaan kerajaan untuk lantikan mengikut opsyen mata pelajaran terutama bagi bidang kritikal di sekolah di bawah Kementerian Pendidikan (KPM).
Katanya, semua calon akan melalui proses tapisan ketat yang dilaksanakan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP), manakala urusan pelantikan guru baharu ini dikendalikan Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) selaku Pihak Berkuasa Melantik.
“Calon diwajibkan melalui tapisan dan saringan ketat ditetapkan SPP termasuk memenuhi syarat skim perkhidmatan, padanan kluster mata pelajaran dan berjaya dalam temuduga,” katanya ketika sesi soal jawab lisan di Dewan Negara hari ini.
Beliau menjawab soalan Senator Datuk Anna Bell @ Suzieana Perian mengenai dasar pengambilan guru serta kesesuaian jumlah graduan pendidikan berbanding keperluan sekolah.
Kah Woh berkata, graduan pendidikan daripada Institut Pendidikan Guru (IPG), universiti awam, universiti swasta dan universiti luar negara yang diiktiraf Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) diutamakan kerana mereka telah mengikuti latihan profesional yang selaras dengan keperluan pengajaran dan pembelajaran.
Katanya, bagi graduan bukan pendidikan pula, mereka masih boleh dipertimbangkan selepas menamatkan latihan ikhtisas lepasan ijazah, dan hanya sekiranya kekosongan jawatan tidak dapat diisi oleh calon berikhtisas.
“Dalam aspek perancangan jangka panjang, KPM melaksanakan unjuran keperluan guru bagi tempoh lima tahun ke hadapan secara berterusan untuk memastikan jumlah graduan pendidikan yang dilahirkan selaras dengan permintaan jawatan guru di sekolah.
“Unjuran dinamik ini disemak setiap tahun dan mengambil kira faktor seperti persaraan, peletakan jawatan, kematian serta perubahan dasar pendidikan yang mempengaruhi opsyen mata pelajaran,” katanya. – UTUSAN










