IPOH: Dua lelaki ditemukan lemas selepas dihanyutkan arus deras ketika mandi sungai di Kampung Orang Asli Sungai Tonggang di Tanjung Rambutan, di sini hari ini.
Mangsa yang maut dikenal pasti sebagai Wan Ahmad Razani Wan Yahaya, 42, dan Rishi Masdi Zaidi, 50, yang kedua-duanya beralamat di Selangor.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, maklumat kejadian itu diterima pada pukul 2.55 petang.
Katanya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tambun kemudian diatur gerak ke lokasi kejadian untuk khidmat khas mengambil mangsa lemas.
“Jentera dari BBP Tambun tiba di lokasi pada pukul 3.28 petang sebelum anggota bergerak sejauh kira-kira 600 meter melalui laluan hutan untuk mendapatkan mangsa.
“Setibanya di lokasi, terdapat dua lelaki dalam keadaan tidak sedarkan diri di tepi sungai.
“Ketua operasi kemudian mengarahkan anggota memakai peranti apungan peribadi (PFD) sebelum kerja-kerja mengangkat mangsa menggunakan pengusung dilakukan,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, kedua-dua mangsa dibawa keluar dari seberang sungai sebelum diserahkan kepada petugas perubatan untuk pengesahan kematian.
Katanya, selepas disahkan meninggal dunia, kedua-dua mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
“Operasi yang turut dibantu pasukan polis itu tamat pada pukul 5 petang,” katanya. – UTUSAN











