PETALING JAYA: Gudang Pintar yang menggabungkan teknologi automasi, kecerdasan buatan (AI), robotik serta Sistem Pengurusan Gudang (WMS) yang dibangunkan secara dalaman bakal di bina di Shah Alam dengan kos RM80 juta.
Fasiliti milik SNT Global Logistics Sdn Bhd (SNT) itu akan dibina di U10, Shah Alam, Selangor untuk memacu era baharu dalam perkhidmatan pemenuhan pesanan (fulfilment) berasaskan teknologi.
Menurut Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif SNT, David Wong berkata, gudang tersebut akan dilengkapi kemudahan tenaga solar, system penuaian air cekap serta bahan binaan mesra alam bagi mengurangkan kos alam sekitar.
“Integrasi teknologi pintar ini berupaya meningkatkan kecekapan operasi syarikat sehingga 50 peratus serta menambah baik kadar pemprosesan pemenuhan pesanan sebanyak 100 peratus.
“Hasrat kami bukan sahaja untuk membina gudang yang lebih besar atau menggerakkan lebih banyak barangan, malah untuk mencipta nilai kekal kepada pelanggan di samping meningkatkan standard perkhidmatan pemenuhan di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Wong berkata, selain memodenkan rantai bekalan merentas pelbagai saluran jualan (omnichannel), fasiliti baharu ini turut menerima pengiktirafan GreenRE Gold atas reka bentuk bangunan mampan yang dilengkapi sistem tenaga solar, penuaian air hujan, dan bahan binaan mesra alam.
Mengulas mengenai perancangan masa depan, Wong berkata, SNT yang merupakan penerima status Perkhidmatan Logistik Bersepadu (ILS) daripada Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) untuk mengukuhkan rangkaian logistik negara menerusi pembinaan sebuah lagi gudang pintar di Lembah Klang.
“SNT turut memperoleh tanah seluas dua ekar di Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) bagi menyokong perluasan operasinya di wilayah selatan tanah air,” jelasnya. – UTUSAN











