KUALA LUMPUR: Pindaan berkaitan pengasingan kuasa Peguam Negara dan Pendakwa Raya dijangka dilaksanakan pada persidangan Parlimen Oktober ini selepas syor mengenainya dipersembahkan kepada Majlis Raja-Raja.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah membuat keputusan dalam mesyuarat Jemaah Menteri supaya syor Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (JKPK) itu melalui proses berkenaan terlebih dahulu.
“Mesyuarat Majlis Raja-Raja mungkin akan berlangsung pada Oktober dan bulan itu juga merupakan sesi Parlimen terakhir bagi tahun ini.
“Insya-Allah, dapat kita laksanakan seterusnya pindaan terhadap Peguam Negara dan Pendakwa Raya,” katanya ketika sesi soal jawab lisan di Dewan Negara hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Senator Datuk Abdul Halim Suleiman mengenai perkembangan usaha mengasingkan kuasa Peguam Negara dan Pendakwa Raya sebagai sebahagian daripada agenda reformasi institusi kerajaan.
Mengulas lanjut, Azalina berkata, JKPK sebelum ini menjalankan penelitian lanjut serta sesi libat urus bersama Ahli Parlimen, pakar perundangan dan pelbagai pihak berkepentingan berhubung usaha mengasingkan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya.
Katanya, penyata jawatankuasa itu dibentangkan pada 22 Jun lalu sebelum dibacakan di Dewan Rakyat pada 14 Julai.
“Antara cadangan pindaan yang dikemukakan ialah mewujudkan kod etika Pendakwa Raya, proses pelaporan kepada Parlimen serta memberikan peranan kepada Parlimen dalam pelantikan Pendakwa Raya,” katanya.- UTUSAN










