PETALING JAYA: Mesyuarat Ketiga, Penggal Kelima, Parlimen Ke-15 (2026) yang akan membuka tirai esok dijangka memberi tumpuan ke arah agenda Belanjawan 2027 yang bakal dibentangkan minggu hadapan.
Belanjawan 2027 yang menjadi belanjawan kelima di bawah Kerajaan Madani diselaraskan dengan kerangka Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), Ekonomi Madani, Strategi Semikonduktor Nasional serta Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR).
Berdasarkan aturan urusan mesyuarat berkenaan, isu pembentangan Rangka Tindakan Penuaan Kebangsaan (NAB) dan Rang Undang-Undang (RUU) Tadbir Urus Kecerdasan Buatan (AI) merupakan antara perkara yang akan dibangkitkan dalam persidangan Dewan Rakyat kali ini.
Sementara itu, isu Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Lembaga Tabung Haji (TH) dijangka menjadi antara topik hangat yang terus dibangkitkan pembangkang dalam sidang kali ini.
Di samping itu, isu lambakan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) dan Pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) turut dilihat sebagai topik penting yang bakal menjadi tumpuan dalam persidangan kali ini.
Selain isu itu, beberapa RUU turut dijadual dibentangkan untuk bacaan kali pertama dalam persidangan berkenaan, antaranya RUU Pembangunan Sukan (Pindaan) 2026 dan Rang Undang-Undang Makanan (Pindaan) 2026. – UTUSAN











