Penyelarasan pentauliahan Peguam Syarie dibawa ke MKI

Penyelarasan pentauliahan Peguam Syarie dibawa ke MKI

MARHAMAH ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Hasil resolusi Konvensyen Profesion Peguam Syarie 2026 berhubung cadangan penyelarasan proses penerimaan masuk Peguam Syarie di seluruh negara akan dibawa ke Mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) akan datang.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Marhamah Rosli berkata, sekiranya dipersetujui di peringkat MKI, perkara berkenaan akan diperhalusi untuk tindakan seterusnya termasuk diangkat bagi mendapatkan pertimbangan dan perkenan Majlis Raja-Raja jika perlu.

Katanya, ini bertujuan memastikan peguam syarie yang diterima masuk di sesebuah negeri boleh beramal di negeri lain secara automatik tanpa perlu melalui prosedur atau tapisan berbeza.

“Pada masa ini, proses penerimaan masuk peguam syarie masih tertakluk kepada bidang kuasa negeri masing-masing, menyebabkan seseorang peguam syarie yang telah diterima masuk di sesebuah negeri tidak secara automatik boleh beramal di negeri lain.

“Keadaan ini menimbulkan cabaran dari segi ketidakseragaman standard kelayakan dan prosedur, beban pentadbiran serta kewangan kepada pengamal, di samping ketiadaan pengiktirafan bersama yang seragam di peringkat nasional,” katanya ketika sesi soal jawab lisan di Dewan Negara hari ini.

Beliau menjawab soalan Senator Datuk Salehuddin Saidin berhubung pendirian kerajaan mengenai cadangan menyeragamkan proses penerimaan masuk peguam syarie bagi tujuan beramal di negeri-negeri.

Marhamah berkata, kerajaan akan terus memudah cara usaha penyelarasan berkenaan secara berhemat, inklusif dan berperingkat dengan menghormati bidang kuasa negeri-negeri serta kedudukan Raja-Raja Melayu sebagai Ketua Agama Islam di negeri masing-masing. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN