SEREMBAN: Seluas 40 hektar tanah terbiar di Skim Londah, Tampin akan dibangunkan secara berperingkat dengan penanaman padi.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pertanian, Keterjaminan Makanan dan Kos Sara Hidup negeri, Datuk Seri Jalaluddin Alias, berkata, pembangunan semula kawasan itu merupakan antara usah dalam memastikan tanah sawah sedia ada tidak terus dibiarkan tanpa diusahakan.
“Usaha berkenaan turut disokong menerusi kerjasama dengan kerajaan Persekutuan melalui program Pelestarian Sawah Nogori yang melibatkan peruntukan RM2 juta untuk membangunkan kawasan baharu serta menaik taraf infrastruktur sawah dan sistem perparitan.
“Kerajaan negeri komited memastikan kawasan padi dapat dimanfaatkan sepenuhnya dan terus diusahakan secara produktif,” katanya pada Persidangan Ketiga (Belanjawan) Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan Yang Ke-15 hari ini.
Jalaluddin (BN-Pertang) berkata, bantuan lain turut disediakan termasuk input pertanian, subsidi baja dan benih sah selain khidmat nasihat teknikal kepada pesawah.
“Penggunaan teknologi moden seperti jentera jentuai, dron dan transplanter juga akan diperluaskan bagi meningkatkan kecekapan kerja dan produktiviti tanaman,” katanya.
Tambahnya, melalui pelaksanaan pelbagai inisiatif itu, kerajaan negeri menyasarkan peningkatan purata hasil padi daripada empat tan sehektar kepada tujuh tan sehektar menjelang tahun 2030. – UTUSAN










