SEREMBAN: Semua inap desa (homestay) serta rumah penginapan jangka pendek (townstay) di Port Dickson akan melalui proses pemutihan ataupun dilesenkan bagi mengatasi isu gangguan yang timbul ekoran operasi yang tidak terkawal di kawasan perumahan.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan negeri, J. Arul Kumar berkata, langkah itu seterusnya memastikan aktiviti sewaan harian ‘homestay’ di kawasan perumahan dapat dikawal secara lebih teratur.
“Homestay di kawasan perumahan mendatangkan banyak gangguan seperti masalah parkir, sampah dan kebisingan, ia tanpa kawalan. Keadaan itu juga menyebabkan persaingan tidak sihat terhadap industri perhotelan. Oleh itu, garis panduan perlu diwujudkan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Sesi Pertanyaan Lisan Persidangan Ketiga (Belanjawan) Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan Ke-15 hari ini.
Beliau berkata, rumah penginapan jangka pendek di Port Dickson dikategorikan sebagai townstay iaitu penginapan menggunakan rumah kediaman seperti rumah teres atau rumah kampung bagi tujuan sewaan harian.
Katanya, inap desa pula adalah penginapan berdaftar di bawah Program Homestay Malaysia kendalian Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya manakala Airbnb berfungsi sebagai platform tempahan
Tambahnya, kawal selia penginapan jangka pendek kini dikuatkuasakan melalui Undang-Undang Kecil Hotel (Majlis Perbandaran Port Dickson) 2025 yang diwartakan pada 25 September 2025, termasuk pengenaan caj Fi Lestari bagi setiap bilik yang ditempah pelancong.
“Pada masa ini, fokus MPPD adalah terhadap pelaksanaan kutipan Fi Lestari manakala proses pelesenan khusus kategori housestay masih dalam peringkat pembangunan tatacara permohonan.
“Pada tahun 2026, MPPD akan laksanakan proses pemutihan untuk mengenal pasti semua pengusaha housestay. Data ini kemudian akan diselaras untuk proses pelesenan mengikut garis panduan yang akan ditetapkan,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Arul yang juga berkata, sebanyak 2,258 ekor anjing liar telah ditangkap di seluruh negeri ini setakat bulan Oktober lalu menerusi pelaksanaan Dasar Kawalan Anjing Liar oleh semua pihak berkuasa tempatan (PBT).
Katanya, dasar itu dilaksanakan bagi mengawal dan mengurangkan populasi anjing terbiar demi menjaga keselamatan awam dan kebersihan persekitaran. – UTUSAN










