Pulau Besar bakal dinyahwarta sebagai Taman Laut

Pulau Besar bakal dinyahwarta sebagai Taman Laut

MUHAMAD Akmal Saleh pada Persidangan Ketiga (Bajet) Penggal Keempat DUN Melaka Ke-15 di Seri Negeri, Melaka hari ini. - UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Pulau Besar di sini bakal dinyahwartakan sebagai Taman Laut sekali gus membolehkan nelayan kembali menangkap ikan di kawasan tersebut.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, kerajaan negeri kini sedang menunggu keputusan daripada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan untuk meluluskan permohonan berkenaan.

Menurutnya, sebelum ini kerajaan negeri telah meluluskan kawasan tersebut dinyahwartakan sebagai Taman Laut.

“Kerajaan negeri mengambil keputusan tersebut mengambil kira keluhan daripada seluruh nelayan kerana kawasan tersebut merupakan sumber rezeki mereka untuk menyara keluarga. “Cuma sekarang ini kita menunggu keputusan daripada Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu untuk meluluskan permohonan yang dikemukakan.

“Saya yakin dalam tempoh terdekat ini kementerian akan memberikan kelulusan dan sebaik diluluskan barulah kerajaan negeri akan memaklumkan penarikan balik Pulau Besar sebagai Taman Laut,” katanya pada Persidangan Ketiga (Bajet) Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Ke-15 di Seri Negeri di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan lisan Dr. Mohd. Aleef Yusof (PN-Sungai Udang) mengenai adakah kerajaan negeri masih mahu meneruskan pewartaan gugusan pulau tersebut sebagai taman laut seterusnya melarang sebarang aktiviti penangkapan ikan.

Mengulas lanjut beliau berkata, larangan menangkap ikan di Pulau Besar sudah berkuatkuasa sejak 1994.

Menurutnya, mengambil kira keluhan nelayan kawasan menangkap ikan semakin berkurangan apabila tiga pulau berhampiran iaitu Pulau Dodol, Pulau Undan dan Pulau Nangka diwarta sebagai Taman Laut Melaka pada 2023.

“Tiga pulau terbabit masih kekal sebagai Taman Laut Melaka dan kawasan larangan menangkap ikan kerana lokasi itu memiliki antara terumbu karang tercantik dan bernilai tinggi di dunia,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN