Peratusan keluar mengundi dijangka turun, tiada masa tambahan

Peratusan keluar mengundi dijangka turun, tiada masa tambahan – SPR

RAMLAN Harun pada sidang akhbar selepas meninjau lokasi Pusat Penjumlahan Undi di Dewan Seri Sulaman, Tuaran.-UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjangkakan kadar keluar mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke 17 esok menurun berbanding biasa, berikutan keadaan cuaca tidak menentu di beberapa kawasan negeri ini.

Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun berkata, berdasarkan trend undi awal, kadar kehadiran mencecah lebih 92 peratus, namun dengan faktor cuaca, pihaknya menyasarkan kira-kira 60 peratus pengundi sahaja dapat hadir menunaikan tanggungjawab.

“Saya menyeru kepada lebih 1.7 juta pengundi berdaftar di Sabah agar keluar mengundi dan melaksanakan tanggungjawab masing-masing serta memilih wakil rakyat yang paling layak mewakili kawasan masing-masing.

“Mungkin akan ada kesan dari segi peratusan keluar mengundi kerana pengundi agak sukar untuk keluar walau bagaimanapun berdasarkan peraturan yang ada tiada tambahan masa yang diberikan,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan bagi semakan isi peti undi Dewan Seri Sulaman, Tuaran, hari ini.

Tambah beliau, SPR juga bersedia mengambil tindakan untuk menunda atau menangguhkan pilihan raya sekiranya berlaku keadaan serius, berdasarkan laporan yang diterima daripada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Peringkat Daerah.

Bagaimanapun, tiada tambahan masa akan diberikan untuk proses pengundian.

“Keadaan boleh menjadi serius, contohnya apabila hampir semua kawasan ditenggelami air atau berlaku tanah runtuh. Untuk itu, kita telah menyediakan SOP khusus bagi menghadapi sebarang situasi kritikal,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN