Malaysia diiktiraf sebagai Ahli Lembaga Eksekutif UNESCO 2025-2029

Malaysia diiktiraf sebagai Ahli Lembaga Eksekutif UNESCO 2025-2029

FADHLINA SIDEK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia melakar sejarah baharu di peringkat dunia apabila berjaya dipilih sebagai Ahli Lembaga Eksekutif Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) bagi penggal 2025 hingga 2029.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, pemilihan Malaysia diumumkan pada Persidangan Agung UNESCO Ke-43 yang berlangsung di Samarkand, Uzbekistan.

Katanya, kejayaan itu merupakan pengiktirafan dunia terhadap kepimpinan, sumbangan dan keupayaan Malaysia dalam memacu agenda global pendidikan, sains dan kebudayaan demi kesejahteraan sejagat yang inklusif serta mampan.

“Mewakili Malaysia, saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua negara anggota UNESCO yang telah memberikan kepercayaan ini.

“Kejayaan ini adalah hasil usaha bersama dari pasukan Suruhanjaya Kebangsaan UNESCO Malaysia, Kementerian Pendidikan, Pejabat Delegasi Tetap Malaysia ke UNESCO di Paris, Kementerian Luar Negeri serta rakan-rakan strategik yang sentiasa komited memperjuangkan kepentingan bersama di peringkat global,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Fadhlina berkata, pemilihan Malaysia sebagai Ahli Lembaga Eksekutif UNESCO adalah satu amanah besar untuk memastikan suara negara-negara membangun khususnya di rantau Asia Tenggara dan Asia Pasifik terus didengari dan dihormati.

Katanya, kedudukan itu turut menyerlahkan komitmen berterusan negara dalam membina masa hadapan yang lebih inklusif, aman dan lestari untuk generasi akan datang.

“Malaysia akan terus menjadi rakan strategik, proaktif dan konstruktif di UNESCO, memacu dasar serta inisiatif yang memartabatkan pendidikan berkualiti, memperkukuh sains dan teknologi untuk pembangunan mampan serta memelihara warisan budaya dan alam sekitar.

“Menerusi mandat baharu ini, Malaysia akan memainkan peranan strategik dalam membentuk hala tuju UNESCO untuk empat tahun akan datang sejajar dengan aspirasi Malaysia MADANI dan Agenda Matlamat Pembangunan Mampan 2030,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN