PETALING JAYA: Malaysia mencatat sejarah dalam usaha pemuliharaan alam semula jadi selepas kawasan di Sabah menerima pengiktirafan antarabangsa menerusi Program Man and the Biosphere (MAB) anjuran Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).
Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) dalam satu kenyataan berkata, pengiktirafan tersebut diumumkan semasa Mesyuarat ke-37 International Coordinating Council of the MAB Programme (MAB-ICC) yang berlangsung pada 27 September 2025 di Hangzhou, China.
Katanya, dalam mesyuarat itu, Kinabatangan, Sabah secara rasmi diiktiraf sebagai Tapak Rizab Biosfera UNESCO keempat di Malaysia, sekali gus menyertai senarai elit bersama Tasik Chini (Pahang, 2009), Banjaran Crocker (Sabah, 2014) dan Bukit Bendera (Pulau Pinang, 2021).
“Lebih membanggakan, Rizab Biosfera Banjaran Crocker pula berjaya mengekalkan statusnya selepas melalui proses ‘periodic review’ — satu penilaian penting yang dilakukan setiap 10 tahun bagi memastikan keberkesanan pengurusan, pengezonan serta penglibatan komuniti setempat,” katanya hari ini.
Dalam pada itu, kenyataan itu berkata, kejayaan tersebut membuktikan komitmen berterusan kerajaan negeri Sabah bersama pelbagai kementerian, jabatan, agensi, badan bukan kerajaan (NGO), pihak industri dan komuniti dalam memastikan kelestarian biodiversiti negeri itu.
“Kami merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada Sabah atas pencapaian ini.
“Ia mencerminkan usaha kolektif dan bersepadu dalam mengurus kawasan berkepentingan biodiversiti serta memacu pembangunan mampan,” menurut kenyataan itu.
Katanya, kejayaan ini juga selaras dengan pelaksanaan Sabah Biodiversity Strategy 2024–2034, yang menjadi panduan utama dalam memperkukuhkan usaha pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar negeri itu.
Kementerian itu turut menyambut baik usaha mana-mana kerajaan negeri lain untuk mencalonkan kawasan berpotensi bagi pengiktirafan antarabangsa seperti Ramsar, Asian Heritage Park (AHP) dan East Asian-Australasian Flyway Partnership (EAAFP), sejajar dengan Dasar Kepelbagaian Biologi Kebangsaan (DKBK) 2022–2030, khususnya Tindakan 8.5, Sasaran 8.
Malaysia kini berada di landasan kukuh sebagai antara negara di rantau ini yang aktif dalam usaha harmonisasi antara manusia dan alam semula jadi melalui rangka kerja MAB UNESCO. – UTUSAN










