‘Yang Berhormat’ bukan untuk disanjung tetapi berkhidmat - Mohd. Kurniawan

‘Yang Berhormat’ bukan untuk disanjung tetapi berkhidmat – Mohd. Kurniawan

MOHD. Naim Kurniawan Moktar (Kanan) dan Mohd. Ismail Ayob berjaya memenangi kerusi Parlimen Kinabatangan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) kali ini. - FACEBOOK NAIM MOKTAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Mohd. Kurniawan Naim Moktar berazam untuk menggalas tanggungjawab yang diamanahkan kepadanya bagi mengangkat maruah rakyat serta meneruskan perjuangan ditinggalkan bapanya, Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin.

Perkara itu dinyatakan selepas beliau diumumkan memenangi kerusi Parlimen Kinabatangan yang pernah disandang Allahyarham Bung Moktar selama enam penggal sejak 1999.

“Syukur ke hadrat Allah SWT, rakyat Kinabatangan dan Lamag telah membuat pilihan dengan penuh harapan memilih Barisan Nasional (BN) dan mengamanahkan saya bersama Mohd. Ismail Ayob.

“Dengan izin-Nya, kami berjanji akan menggalas tanggungjawab ini sehabis daya demi mengangkat maruah rakyat ke hadapan dan menyambung perjuangan suci yang ditinggalkan oleh Allahyarham Datuk Seri Panglima Bung Moktar,” katanya menerusi hantaran di Facebook, malam tadi.

Mohd. Kurniawan berkata, amanah yang dipikulnya bukan untuk disanjung, sebaliknya bertujuan berkhidmat kepada rakyat.

“Jika kami leka, tegurlah kami. Jika kami tersasar, betulkanlah kami.

“Kerana hakikatnya, ‘Yang Berhormat’ bukan untuk disanjung tetapi untuk berkhidmat. Kami adalah pekerja rakyat,” katanya.

BN turut mengekalkan penguasaan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag yang sebelum ini disandang Bung Moktar apabila Mohd. Ismail Ayob atau lebih dikenali sebagai MIHA memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) di kerusi berkenaan.

Keputusan PRK Parlimen Kinabatangan menyaksikan Mohd. Kurniawan berjaya mempertahankan kerusi yang disandang ayahnya sejak 1999 selepas meraih majoriti 14,214 undi, menewaskan Datuk Saddi Abdul Rahman (Warisan) dan Goldam Hamid (Bebas).

PRK Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag diadakan susulan kematian Bung Moktar, 66, pada 5 Disember tahun lalu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN