KPM harap Gendang 24 Perayaan diiktiraf UNESCO

KPM harap Gendang 24 Perayaan diiktiraf UNESCO

WONG Kah Woh (dua, kiri) memukul gendang sempena perasmian Pertandingan Elit Gendang 24 Perayaan Tahun 2026 Peringkat Kebangsaan di Kompleks Sukan Educity, Iskandar Puteri. - UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Kementerian Pendidikan (KPM) berharap persembahan Gendang 24 Perayaan mendapat pengiktirafan Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) di bawah kategori warisan kebudayaan.

Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, penganjuran Pertandingan Elit Gendang 24 Perayaan Malaysia 2026 yang semakin mendapat sambutan dalam kalangan pelajar sekolah akan memperkukuh permohonan tersebut.

Katanya, persembahan Gendang 24 Perayaan itu diasaskan di Johor Bahru sejak 1988 dan telah menarik penyertaan seramai 68,781 individu dalam tempoh 38 tahun penganjuran.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Gendang 24 Perayaan bukan berasal dari China seperti yang sering dianggap sesetengah pihak. Ia diasaskan oleh Tan Chai Puan bersama mendiang Tan Hooi Song, kini ia berkembang ke seluruh negara dan turut dipersembahkan di peringkat antarabangsa.

“Sejak dianjurkan, ia mendapat penyertaan seramai 14,399 pelajar setakat 2025, dengan sebanyak 352 buah sekolah di bawah KPM kini mempunyai kelab Gendang 24 Perayaan,” katanya dalam sidang media sempena Pertandingan Elit Gendang 24 Perayaan Tahun 2026 Peringkat Kebangsaan di Kompleks Sukan Educity, di sini, malam tadi.

Menurut Kah Woh, Persatuan Gendang 24 Perayaan telah mengemukakan permohonan kepada UNESCO pada Mac lalu dan keputusan berhubung permohonan itu dijangka diumumkan pada akhir 2028.

ADS:D

Mengenai Pertandingan Elit Gendang 24 Perayaan Tahun 2026, beliau berkata, pertandingan itu melibatkan enam zon iaitu Utara, Sabah, Selatan, Tengah, Pantai Timur dan Sarawak.

Katanya, pertandingan di enam zon berkenaan disertai 46 pasukan membabitkan 1,220 peserta, sebelum 10 pasukan terbaik terdiri daripada juara dan naib juara setiap zon dipilih untuk bertanding pada peringkat elit kebangsaan.

Tambahnya, peningkatan penyertaan itu turut memperlihatkan Gendang 24 Perayaan semakin diterima oleh masyarakat pelbagai kaum, walaupun majoriti pasukan yang menyertainya masih terdiri daripada masyarakat Cina.

“Peningkatan penyertaan, pengumpulan data serta pengiktirafan Gendang 24 Perayaan sebagai sebahagian aktiviti tahunan KPM buat kali pertama tahun ini merupakan antara usaha yang dapat memperkukuh kedudukan warisan berkenaan dalam usaha mendapatkan pengiktirafan UNESCO,” ujarnya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN