Malaysia catat lapan warisan budaya tidak ketara diiktiraf UNESCO

Malaysia catat lapan warisan budaya tidak ketara diiktiraf UNESCO

SHAHARUDDIN Abu Sohot (tiga dari kiri) bersama wakil Jabatan Warisan Negara (JWN), Universiti Teknologi MARA (UiTM), serta barisan panel forum Pelan Perlindungan Warisan Kebudayaan Tidak Ketara Malaysia (2026–2030).
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Malaysia berjaya menyenaraikan lapan elemen Warisan Kebudayaan Tidak Ketara (WTK) di bawah kategori Representative List of the Intangible Cultural Heritage of Humanity oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

Lapan elemen tersebut ialah Mak Yong (2008), Dondang Sayang (2018), Silat (2019), Upacara Ong Chun/Wangchuan/Wangkang (2020) yang dicalonkan bersama Republik Rakyat China, Pantun (2020) bersama Indonesia, Songket (2021), serta Kebaya dan Budaya Sarapan di Malaysia yang masing-masing disenaraikan pada tahun 2024.

Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Shaharuddin Abu Sohot berkata, pencapaian ini mencerminkan kekayaan jati diri dan identiti budaya masyarakat Malaysia yang unik dan berbilang kaum, serta perlu terus diperkukuh menerusi usaha perlindungan yang bersepadu.

Katanya, dalam mendepani cabaran seperti arus globalisasi, perubahan sosioekonomi dan kepupusan generasi pewaris budaya, usaha melindungi warisan tidak ketara negara tidak boleh lagi bersifat reaktif tetapi memerlukan pendekatan strategik dan menyeluruh.

“Warisan ini hidup secara dinamik dan sentiasa berubah mengikut peredaran zaman, namun asasnya tetap berpaksikan kepada nilai budaya masyarakat yang diwarisi turun-temurun,” katanya pada majlis pelancaran Pelan Perlindungan Warisan Kebudayaan Tidak Ketara Malaysia (2026–2030) di ibu negara, hari ini.

Menurut Shaharuddin, pelan tersebut sedang dirangka oleh Jabatan Warisan Negara (JWN) dengan kerjasama Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi MARA (UiTM) sebagai dokumen dasar utama dalam perlindungan WTK negara bagi tempoh lima tahun akan datang.

“Pelan itu akan menjadi panduan rujukan kepada semua pihak berkepentingan termasuk kementerian, agensi kerajaan, badan swasta, penyelidik, institusi akademik serta komuniti budaya dalam melaksanakan langkah-langkah perlindungan secara terarah dan mampan.

“Melalui siri forum dan bengkel yang dilaksanakan, pelbagai pihak seperti penggubal dasar, penyelidik, pengamal budaya dan komuniti telah diberi ruang untuk menyumbang pandangan bagi memastikan pelan tindakan yang dibangunkan bersifat inklusif, realistik dan berpaksikan kepada keperluan semasa,” katanya.

Tambahnya, setakat ini, sebanyak 517 butiran elemen WTK telah diiktiraf sebagai Warisan Kebangsaan di peringkat nasional dan langkah merangka pelan perlindungan secara rasmi adalah keperluan mendesak untuk memastikan elemen-elemen berharga tidak pupus begitu sahaja.

“Pelaksanaan pelan ini juga selari dengan aspirasi Malaysia Madani dan agenda Visit Malaysia 2026 (VM2026) yang menjadikan warisan budaya sebagai antara daya tarikan utama kepada pelancong domestik dan antarabangsa.

“Pemeliharaan warisan kebudayaan tidak ketara bukan hanya tanggungjawab kerajaan semata-mata, sebaliknya ia adalah amanah bersama rakyat Malaysia untuk memelihara warisan budaya sebagai khazanah negara,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN