DBKL tawar rumah transit kepada penduduk pangsapuri Taman United

DBKL tawar rumah transit kepada penduduk pangsapuri Taman United

ZALIHA (tengah) bersama Teresa Kok (tiga dari kiri) ketika meninjau lokasi kejadian tanah runtuh di Taman United, Seputeh hari ini. – UTUSAN/M. FIRDAUS M. JOHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bersedia menawarkan rumah transit kepada penghuni pangsapuri Taman United, Seputeh di sini yang terjejas insiden tanah runtuh baru-baru ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa berkata, pihaknya akan mengenal pasti jumlah penduduk yang memerlukan rumah transit sementara menunggu tembok penahan cerun di situ pulih semula.

Menurut beliau, sebahagian penduduk yang terkesan kini berada di Pusat Permindahan Sementara (PPS) dan terdapat juga yang menumpang rumah ahli keluarga.

“DBKL akan kenal pasti berapa ramai penduduk yang memerlukan dan berapa banyak rumah transit yang kita ada untuk ditawarkan kepada mereka.

“Cumanya penduduk tidak boleh memilih rumah transit kerana ia mungkin tidak berada dalam satu tempat,” katanya ketika ditemui pemberita, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Zaleha berkata, juruperunding kejuruteraan sudah memulakan kajian kestabilan tanah bagi menentukan langkah pembaikan seterusnya yang akan diambil.

“Kerja-kerja membina benteng menggunakan beg pasir sudah dilaksanakan bagi mengelakkan air memasuki rumah di aras bawah Blok C.

“Malah, kerja pembersihan weep hole pada tembok penahan cerun turut sudah dijalankan bagi memastikan tiada air terperangkap di bahagian belakang struktur, termasuk pembersihan longkang di sekitar Blok B dan C bagi memastikan aliran air berjalan lancar dan mengelakkan takungan,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN