PARIT: Timor-Leste akan diterima secara rasmi sebagai anggota penuh ASEAN pada 26 Oktober ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Pengerusi Asean berkata, Malaysia melalui Kementerian Luar sentiasa berusaha gigih dalam memastikan penyertaan Timor-Leste ke dalam ASEAN.
“Sejak awal lagi Malaysia menyokong kemasukan Timor-Leste, kita berusaha keras untuk memastikan negara itu diterima sebagai anggota tetap ASEAN.
“Dengan kerjasama Kementerian Luar, pada 26 Oktober ini secara rasmi Timor-Leste akan menjadi anggota tetap ASEAN,” katanya pada Program Temu Anwar Bersama Pelajar Universiti Teknologi Petronas (UTP) di Seri Iskandar dekat sini hari ini.
Malaysia akan menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak ASEAN dari 26 hingga 28 Oktober ini di Kuala Lumpur.
Persidangan dihadiri pemimpin dunia termasuk Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump dan Presiden China, Xi Jinping.
Sebelum ini, Mesyuarat Menteri-Menteri Luar Asean ke-58 pada 9 Julai menyatakan komitmen untuk menyokong Timor-Leste mempercepat penyertaan dalam perjanjian ekonomi utama Asean.
Timor-Leste mencapai kemerdekaan pada 20 Mei 2002 dan memohon keahlian Asean pada 2011. – UTUSAN










