KUALA LUMPUR: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) kini dalam proses meminda Akta Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) 1966 [Akta 118] bagi memperkukuh perlindungan kepada pembeli rumah serta mengelak projek perumahan terbengkalai.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, pindaan itu penting bagi memperincikan peruntukan sedia ada supaya hak dan kepentingan semua pihak dalam industri perumahan terutama pembeli, dapat dijamin dengan lebih baik.
“Langkah ini akan memperkasa tadbir urus dan pengurusan kewangan dalam sektor perumahan agar lebih efisien, selain memastikan hak pembeli rumah terus dilindungi,” katanya menjawab soalan Pang Hok Liong (PH-LABIS) di Dewan Rakyat, hari ini.
Kor Ming berkata, usaha itu juga selaras dengan hasrat kerajaan MADANI untuk memastikan setiap rakyat mempunyai tempat tinggal yang selamat dan berkualiti tanpa mengira status pemilikan atau sewaan.
Menurutnya, kerajaan turut menggalakkan pemaju melaksanakan kaedah Bina dan Kemudian Jual (BKJ) bagi mengurangkan risiko projek terbengkalai serta mengawal lambakan rumah tidak terjual.
Namun, katanya, konsep itu hanya sesuai untuk pemaju yang mempunyai kedudukan kewangan kukuh, justeru pelaksanaannya masih dijalankan secara sukarela buat masa ini.
“Bagi menggalakkan lebih banyak pemaju menyertai skim BKJ, kerajaan menawarkan beberapa insentif termasuk keutamaan dalam kelulusan Kebenaran Merancang (KM) serta pengecualian bayaran deposit akaun pemajuan perumahan,” jelasnya. – UTUSAN










