SEPANG: Sebuah kapal bernama Marinette menjadi satu-satunya kapal daripada keseluruhan 42 armada misi Global Sumud Flotilla (GSF) masih meneruskan pelayaran ke perairan Gaza.
Perkara itu disahkan melalui paparan skrin di Pusat Gerakan Operasi Sumud Nusantara (SNCC), di sini yang boleh dijejaki melalui laman web penjejak (tracker) Sumud Nusantara Flotilla Tracker – Real-time Vessel Tracking https://magic.mapim.dev/sumudnusantara.
Mengikut paparan skrin tu, kapal Marinette kini berada di zon kuning kira-kira 80 batu nautika dari Gaza dan 10 batu nautika dari lokasi Israel mula memintas bot lain dalam flotila terbabit.
Bagaimanapun, tiada aktivis Malaysia dilaporkan berada di atas kapal itu.
Marinette yang menghadapi masalah mekanikal sebelum ini telah ketinggalan di belakang kumpulan utama armada.
Kesemua kapal lain dalam flotila tersebut dipintas dan ditunda ke pelabuhan Ashdod oleh tentera laut Israel, dalam usaha menyekat sebarang cubaan memecahkan sekatan laut ke atas Gaza.
Kementerian Luar Negeri Israel sebelum ini mengeluarkan amaran keras, menyatakan jika Marinette menghampiri Gaza, ia juga akan dihalang atas alasan keselamatan, memandangkan kawasan tersebut diisytiharkan sebagai zon konflik aktif.
Global Sumud Flotilla menyifatkan misi mereka sebagai usaha kemanusiaan untuk menyampaikan bantuan terus ke Gaza, yang kini berdepan krisis kemanusiaan kritikal akibat sekatan berpanjangan dan serangan berterusan. – UTUSAN









