SUNGAI PETANI: Lantikan penasihat program pembangunan Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (Keda) di setiap kawasan Parlimen di negeri ini tidak menyalahi prosedur ditetapkan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).
Pengerusi Keda, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, lantikan itu juga berstatus sukarela dan tidak melibatkan sebarang bayaran elaun khas kepada setiap Ketua UMNO bahagian yang dilantik ke jawatan itu.
“Antara tugas mereka adalah sebagai pemudah cara dalam usaha membantu Keda mengenal pasti penerima yang sebenar dan layak menerima sebarang bantuan.
“Selain itu mereka diharap boleh menjadi mata dan telinga Keda kerana lebih mengetahui apa-apa bencana yang berlaku di dalam kawasan mereka agar bantuan dapat disalurkan segera,” katanya kepada pemberita pada lawatan kerja ke Desa Keda Tepi Sungai di Kuala Muda, hari ini
Beliau mengulas kenyataan Ahli Parlimen Padang Terap, Nurul Amin Hamid berhubung pelantikan penasihat program pembangunan Keda di setiap kawasan Parlimen di negeri ini, dianggap sebagai tidak berasas.
“Mereka juga tidak terlibat dalam sebarang peruntukan kerana sebagai agensi kerajaan Pusat, Keda menerima peruntukan terus melalui KKDW seperti mana mengikut pekeliling perkhidmatan dan pekeliling perbendaharaan.
“Semua permohonan peruntukan mengikut prosedur yang ditetapkan dan tidak sewenang-wenangnya melangkaui kuasa daripada Keda,” katanya. – UTUSAN










