Titah Adendum: Zahid sahkan akan jumpa Anwar

Titah Adendum: Zahid sahkan akan jumpa Anwar

AHMAD Zahid Hamidi berucap pada Majlis Perasmian Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Tampin 2025 di Dewan Perdana Tampin, di sini, hari ini. - UTUSAN/MOHD SHAHJEHAN MAAMIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAMPIN: Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi akan bertemu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam masa terdekat bagi membincangkan harapan 160 Ketua UMNO Bahagian seluruh negara yang mahu pelaksaan Titah Adendum.

Ahmad Zahid berkata, hasrat akar umbi UMNO itu tanda manifestasi kegelisahan dan keprihatinan mereka terhadap Datuk Seri Najib Razak.

“Saya sendiri akan menyampaikan hasrat ketua-ketua bahagian ini kepada Perdana Menteri dan mudah-mudahan beliau akan menggunakan budi bicara beliau sebagai Perdana Menteri.

“Ini bukanlah bermaksud campur tangan dalam soal mahkamah, tapi bagi mengusahakan agar hasrat Ketua-ketua UMNO Bahagian ini dapat dipenuhi melalui tata kelola dan tata cara perundangan yang sedia ada dan disegerakan.

“Insya-Allah, secepat mungkin saya akan bertemu dengan Perdana Menteri, mungkin dalam tempoh sehari dua ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Tampin 2025 di Dewan Perdana Tampin di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias dan Ketua UMNO Bahagian Tampin, Datuk Seri Mohd Isam Mohd Isa.

Ditanya mengenai dakwaan Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Titiwangsa, Syed Badli Shah Syed Osman bahawa Ketua-ketua UMNO Bahagian itu akan mengganggu-gugat kestabilan politik negara, Ahmad Zahid menegaskan, isu berkenaan tidak timbul.

“Tidak ada ganggu-gugat yang timbul. Kita tidak menyatakan selain daripada itu (Titah Adendum). Jadi, saya harap siapa-siapa sahaja yang meragui perjumpaan itu harus sedar bahawa kita tidak berhasrat untuk mencabuli kestabilan politik yang sedia ada di negara kita,” katanya.

Menurut beliau, perjumpaan dalam kalangan Ketua-ketua UMNO Bahagian adalah merupakan usaha daripada pemimpin-pemimpin akar umbi di bahagian-bahagian sendiri.

“Ketika itu saya berada di luar negara. Hasrat yang dinyatakan oleh Datuk Seri Dr. Mohd Shafei Abdullah (Ketua UMNO Bahagian Wangsa Maju) yang mewakili kawan-kawan adalah datang daripada suara akar umbi dan mereka memfokuskan kepada soal adendum melibatkan Najib,” katanya.

Menurut beliau, pertemuan berkenaan tidak berhasrat mencampuri kuasa Yang di-Pertuan Agong atau mengganggu tugas-tugas Anwar selaku Perdana Menteri. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN