PADANG TERAP: Lapan lokasi di Pedu, di sini dijadikan pusat pengumpulan hasil durian atau Durian Hub oleh Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) menerusi Projek Bersepadu Pembangunan Ekonomi Kampung (Prospek) Pedu.
Pengerusi KEDA, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, Durian Hub merupakan pusat sehenti bagi urusan pengumpulan, penggredan dan pemasaran hasil durian peserta projek berkenaan.
“Pada peringkat permulaan, empat lokasi Durian Hub dibangunkan di Desa KEDA Bukit Kura, Kampung Padang Setol, Kampung Seladang Rebah dan Kampung Tok Pelu dengan kos RM145,000.
“Baki empat lagi lokasi akan dimuktamadkan dan dibangunkan sebelum penghujung tahun ini dengan peruntukan keseluruhan RM288,000,” katanya pada sidang akhbar program Durian Fest @ Prospek Pedu 4.0 di Bukit Langsat, Kampung Padang Setol, hari ini.
Prospek Pedu adalah inisiatif Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah yang memfokuskan pembangunan ekonomi dan sosial di kampung sedia ada tanpa melibatkan pembukaan kawasan baharu.
Projek yang bermula pada 2022 itu dilaksanakan dalam tempoh lima tahun dengan kos keseluruhan RM7.9 juta dan memberi manfaat kepada lebih 3,000 penduduk di 12 kampung dalam mukim Pedu.
Menurut Mahdzir, sehingga kini terdapat 354 peserta Prospek Pedu dalam perusahaan tanaman durian melibatkan keluasan 284 hektar dengan hampir 20,000 pokok daripada pelbagai varieti klon serta durian kampung.
“Durian Hub mampu meningkatkan kecekapan pengurusan hasil, mengurangkan kebergantungan kepada orang tengah serta membolehkan peserta memperoleh pulangan lebih baik melalui pemasaran secara berkelompok,” ujarnya.
Katanya, Durian Fest pula menjadi platform strategik mempromosikan keunikan durian Pedu dan berpotensi menjadikan kawasan itu sebagai destinasi agro pelancongan berasaskan durian yang mampu meningkatkan pendapatan pengusaha serta merancakkan ekonomi komuniti setempat. – UTUSAN










