PADANG TERAP: Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) memperuntukkan RM6.5 juta untuk menaiktaraf premis Industri Kecil dan Sederhana (IKS) yang memberi memanfaatkan kepada 320 usahawan di negeri ini.
Pengerusi KEDA, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, premis IKS yang diwujudkan telah memberi ruang kepada usahawan berkembang kerana kadar sewa lebih rendah, sebelum penyewa berdikari dengan memiliki harta sendiri.
“Kebiasaannya mereka berada di situ tiga hingga empat tahun dan apabila perniagaan semakin baik dan membesar serta merasa tidak layak lagi berada di situ, maka mereka akan mula berniaga di tempat lain,” katanya selepas menghadiri program Iftar Perdana KEDA dan Serahan Gerai di Desa KEDA Kubang Kenyeng, Naka di sini malam tadi.
Katanya, setakat ini premis berkenaan terbahagi kepada 180 lot bangunan industri di Taman IKS dan gerai niaga terdiri daripada 338 lot termasuk di Desa KEDA Kubang Kenyeng.
Mahdzir turut memberi amaran kepada usahawan supaya tidak menyalahgunakan premis IKS milik agensi itu dengan menyewakan semula kepada pihak lain.
“Kita sediakan premis dengan kadar sewa yang lebih rendah berbanding tempat lain tetapi dalam perniagaan ini mereka ada macam-macam seni juga. Jadi, kita nasihatkan kepada usahawan yang sewa premis IKS KEDA ini tidak menyewakan pula kepada orang lain.
“Kita berharap penyewa asal yang berniaga di situ kerana mereka menandatangani kontrak tertentu. Memang ada insiden seperti ini dan kita panggil untuk pemeriksaan. Kadang-kadang kita simpati juga tetapi kalau dia buat dua tiga kali KEDA terpaksa ambil tindakan,” katanya.
Tambahnya, tindakan tegas penting bagi memastikan premis IKS KEDA benar-benar dimanfaatkan oleh usahawan untuk menjana ekonomi mereka dan bukan pihak yang mengambil kesempatan. – UTUSAN










