KUALA LUMPUR: Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menuntut tapak gantian bagi peniaga Industri Kecil dan Sederhana (IKS) Sri Semarak disediakan dalam tempoh tiga bulan bagi membolehkan mereka meneruskan perniagaan.
Pengerusi Pertubuhan Pergerakan Kebajikan Masyarakat Kuala Lumpur, Hussen Zulkarai berkata, tempoh itu penting kerana peniaga kini kehilangan punca pendapatan susulan premis mereka dirobohkan oleh pemaju bermula pagi tadi.
Menurutnya, terdapat peniaga yang kehilangan pendapatan, termasuk wang untuk menampung keperluan keluarga, rawatan dan perbelanjaan harian.
“Kelewatan menyediakan tapak gantian boleh menyebabkan proses pemulihan terhadap peniaga berlarutan, sedangkan mereka memerlukan tempat baharu untuk meneruskan kehidupan.
“Pihak kami akan terus membawa suara kesemua 98 peniaga IKS itu sekiranya tiada perkembangan mengenai tapak gantian dalam tempoh dua minggu hingga sebulan akan datang,” katanya pada sidang akhbar berkaitan isu peniaga IKS Sri Semarak susulan perobohan deretan kedai peniaga IKS di Setapak di sini hari ini.
Sementara itu, peniaga, Syed Kandias Syed Ahmad, 29, berkata kehilangan premis itu telah memberi kesan besar kepada kelangsungan perniagaan yang dibina keluarganya sejak dahulu.
Dia yang merupakan generasi kedua berkata, arwah bapanya antara individu yang membangunkan kawasan berkenaan selepas keluarga mereka berpindah ke situ sekitar tahun 1995.
“Kawasan itu sebelum ini merupakan tanah lombong, namun keluarga dan peniaga lain berusaha membangunkan premis masing-masing menggunakan kudrat serta sumber sendiri.
“Kini kami sekeluarga kehilangan pendapatan sekitar kira-kira RM5,000 sebulan dan kebanyakan peniaga turut senasib dengan kami, macam mana kami hendak bertahan sehingga bangunan baharu disiapkan?
“Tambahan pula, bagaimana saya dan keluarga mahu membantu ibu yang sedang sakit kerana beliau memerlukan rawatan serta perbelanjaan untuk meneruskan kehidupan harian?,” katanya
Bagaimanapun, Penyelaras Zon Parlimen Setiawangsa, Datuk Afdlin Shauki berkata, perbincangan bersama pihak berwajib kini telah mengenal pasti tiga lokasi yang sesuai untuk dipertimbangkan sebagai tapak gantian buat para peniaga IKS.
Beliau berkata, tiga lokasi berkenaan membabitkan dua kawasan di Mukim Batu dan satu kawasan di Cheras bagi membantu pengusaha meneruskan perniagaan.
“Setiap lokasi yang dikenal pasti itu mempunyai keluasan kira-kira tiga ekar dan masih memerlukan tindakan susulan pihak berkaitan sebelum diputuskan.
“Bagaimanapun, setakat ini belum dapat dipastikan bila ketiga-tiga lokasi berkenaan boleh digunakan sepenuhnya, manakala wakil penduduk akan turut serta dalam masa terdekat bagi menilai kesesuaian kawasan untuk penempatan semula pengusaha.
“Sementara itu, perbincangan bersama Bahagian Pengurusan Tanah dan Galian (BPTG) masih diteruskan bagi memastikan lokasi alternatif dapat membantu pengusaha meneruskan mata pencarian mereka,” katanya. – UTUSAN









